Buletin

CX-50 PASANG DI KILANG KONGSI MAZDA DAN TOYOTA DI AS!

Pada November 2021, Mazda memperkenalkan SUV CX-50 di Amerika Syarikat. SUV terbaru ini bukan pengganti CX-5 dan ianya tampil dengan reka bentuk rugged dan berbeza daripada model buatan Mazda yang lain.

Beberapa bulan selepas diperkenalkan, Mazda pada 26 Januari memaklumkan pengeluaran pertama CX-50 sudah pun dimulakan di Alabama, Amerika Syarikat.

Unit keluaran pertama itu dipandu keluar sendiri oleh Presiden dan Ketua Pegawai Operasi, Operasi Mazda Amerika Utara (MNAO), Jeff Guyton.

Apa yang menariknya? Kilang yang terletak di Huntsville itu sepenuhnya milik Mazda tetapi dikongsi bersama Toyota!

Mazda Toyota Manufacturing (MTM)

Kilang yang dikenali sebagai Mazda Toyota Manufacturing (MTM) itu adalah hasil usaha sama Mazda Motor Corporation dan Toyota Motor Corporation yang menelan belanja $2.3 bilion (RM9.63 bilion).

MTM baru sahaja beroperasi pada September 2021 dan mampu mengeluarkan 300,000 unit kenderaan setahun.

Dari angka itu dijangkakan MTM akan mengeluarkan sehingga 150,000 unit kenderaan untuk setiap satu Toyota dan Mazda.

Dari segi faedah ekonomi, kilang MTM akan menggajikan sehingga 4,000 pekerja dan tambahan beberapa ribu orang lagi dari pembekal.

Mazda telah memulakan inisiatif untuk memperkukuhkan aspek jualan di AS sejak tahun 2016 lagi yang merupakan pasaran terpenting buatnya.

Perancangan itu dihimpun dan digariskan di dalam Pelan Pengurusan Jangka Sederhana yang bermula dari Mac 2020 sehingga Mac 2026.

Di antara usaha yang dilakukan ialah menaik taraf pusat pengedar dan pembaharuan operasi jualan.

MNAO beroperasi di Irvine, California dan memantau operasi di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dan mempunyai sekitar 780 pengedar.

Mazda CX-50, khusus untuk pasaran Amerika Utara

CX-50 yang dikeluarkan di AS ini dibuat khusus untuk pasaran Amerika Utara dan tampil menarik dengan lenggok rekaan berbeza berbanding model Mazda yang lain.

CX-50 pasaran AS dilengkapi ciri standard seperti pacuan i-Activ All-Wheel Drive (AWD) dan mod Mazda Intelligent Drive Select atau Mi-Drive.

Mod yang dilengkapi membolehkan CX-50 dipandu di atas permukaan mencabar dan keupayaan untuk menunda treler dan sebagainya.

Ini penting supaya keupayaan pacuan sepadan dengan rupa rugged yang ditunjukkan.

Pada peringkat awal CX-50 ditawarkan dengan enjin 2.5L Skyactiv-G aspirasi biasa dan 2.5L Skyactiv-G Turbo dan dipadan bersama transmisi enam kelajuan automatik.

Pada masa akan datang dan selari dengan perkembangan semasa, pembeli boleh memilih nadi elektrifikasi termasuk model hibrid tradisional.

Pada bahagian dalaman dan berbeza dari luar, papan pemuka CX-50 tampil ringkas seperti model Mazda yang lain.

Seperkara menarik apabila CX-50 ditawarkan dengan bumbung panoramic moon roof dan yang pertama untuk kenderaan buatan Mazda.

Bumbung itu membolehkan penumpang menikmati suasana yang lebih terbuka ketika merentas desa atau berkhemah.

Dari segi rekaan, ukuran tinggi dan panjang CX-50 dibuat supaya sesuai untuk memuatkan barang dan menyimpan perkakasan aktiviti luar.

Turut diberi perhatian ialah tiang B dan sisi pintu yang diperkukuhkan dan rel bumbung kekuatan tinggi untuk simpanan barang di atas bumbung.

Dengan imej rugged yang merupakan ciri universal, adakah Mazda bakal menawarkan CX-50 di negara lain seperti pasaran tempatan?

Setakat ini belum ada khabar berita dan mungkin sedikit jelas jika ada versi pemanduan sebelah kanan.

BACA: MAZDA MX-5 2022 KINI DENGAN CIRI KINEMATIC POSTURE CONTROL (KPC). BUKAN KFC.

BACA: MAZDA NAK BUAT BANYAK SUV: CX-50, CX-60, CX-70, CX-80, CX-90!

BACA: MAZDA CX-30 2.5 TURBO! 250 HP 434 NM

Google ads
Back to top button