POLIS RAMPAS KOMPONEN KENDERAAN SERTA PERALATAN MEMOTONG – MODUS OPERANDI SASAR KERETA TERBIAR
Polis Daerah Petaling Jaya baru-baru ini merampas sebuah lori jenis Mitsubishi serta beberapa peralatan untuk memotong kenderaan termasuk komponen yang telah dileraikan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, seorang suspek berusia 33 tahun berjaya diberkas di Taman Medan, Petaling Jaya ketika sedang mengangkat beberapa komponen kenderaan ke dalam sebuah lori.
“Modus operandi suspek adalah memotong, meleraikan komponen kenderaan yang ditinggalkan terlalu lama di kawasan perumahan Taman Medan sebelum dijual semula ke pasaran gelap,” ujarnya.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan lanjut terhadap nombor enjin, casis kenderaan termasuk komponen juga gagal kerana dalam keadaan tidak sempurna setelah dileraikan.
Suspek juga gagal menyerahkan sebarang dokumen berkaitan kenderaan yang dileraikan.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Sepanjang Januari hingga Februari lalu, polis menerima sebanyak 10 laporan polis berkaitan kes hilang kenderaan lama yang diparkir di tempat awam.” – Kosmo
- BACA: KES CURI KERETA DI PETALING JAYA NAIK 20.7 PERATUS
- BACA: ANAK DAN BAPA DITAHAN TIPU INSURAN KERETA KENA CURI – RUPANYA EKSIDEN MASA TRACK DAY
- BACA: SINDIKET CURI KERETA MEWAH DI BENGKEL, PARKIR VALET DAN KEDAI CUCI KENDERAAN AKHIRNYA TUMPAS
- BACA: PEMANDU E-HAILING HILANG KERETA, DICURI PENUMPANG WANITA DIDAKWA SAKIT MENTAL