PEMANDU E-HAILING HILANG KERETA, DICURI PENUMPANG WANITA DIDAKWA SAKIT MENTAL
Pada 7 Februari lalu, pemandu e-hailing Mongkhonrat Yana, 75 tahun, meminta bantuan daripada netizen sekiranya menjumpai kereta sedan Toyota Camry berwarna hitam miliknya yang dicuri oleh seorang penumpang wanita.
Menurut Mongkhonrat, dia mengambil penumpang bernama Kannika berusia 30 tahun di sebuah daerah kecil di Chon Buri, menuju ke Terminal Bas Bangkok.
Ceritanya lagi, Kannika tiba-tiba melompat ke tempat duduk pemandu serta mendakwa dia tergesa-gesa. Walaupun tidak berjaga-jaga, Mongkhonrat mempercayai Kannika untuk memandu dan tidak mengesyaki sebarang niat jenayah.
Selepas menempuh jarak sepuluh kilometer, Kannika memberitahu Mongkhonrat bahawa dia ingin menukar destinasi mereka ke Chiang Mai di utara Thailand dan menawarkannya 30,000 baht (RM3,856).
Dalam cubaan untuk memberhentikan kereta, dia cuba mengeluarkan kunci dari pencucuh semasa mereka tersekat dalam kesesakan lalu lintas di Jalan Rama 4 di Bangkok.
Disebabkan itu, perebutan kunci berlaku, tetapi dengan Kannika yang lebih muda dan lebih kuat, dia berjaya memaksa Mongkhonrat keluar dari kereta lalu meninggalkannya di tepi jalan.
Setelah beberapa hari kejadian itu berlaku, ibu Kannika, Boonyuen, akhirnya tampil untuk memberi keterangan dan membawa anaknya ke Balai Polis Lumphini.
Boonyuen berkata dia terkejut dengan tindakan anak perempuannya setelah menghilangkan diri pada hari Selasa, 31 Januari. Namun kepulangan semula anaknya itu lebih mengejutkan apabila memandu sebuah kereta Toyota Camry.
Boonyuen menjelaskan bahawa Kannika mengalami masalah kesihatan mental selepas terlibat dalam kemalangan kereta baru-baru ini. Dia telah merempuh kenderaan lain dan tidak dapat membayar pampasan 200,000 baht (RM25,707) kepada mangsa, menyebabkan dia mengalami tekanan.
Polis kemudian memulangkan semula kereta itu dan Mongkhonrat juga sedia untuk memaafkan Kannika. Namun pihak polis menyatakan bahawa mereka akan meneruskan pendakwaan sehingga pengesahan perubatan rasmi mengenai penyakit dihidapi Kannika diterima.
Kannika didakwa atas Seksyen 339 Undang-undang Jenayah yang menyatakan sesiapa menggunakan kekerasan atau mengancam keganasan untuk mencuri aset daripada orang lain akan berdepan hukuman penjara lima hingga sepuluh tahun, selain denda 10,000 hingga 20,000 baht (RM1,285 – RM2,570).
- BACA: MITSUBISHI TRITON 2024 DIKESAN DI THAILAND, BILA NAK LANCAR TU?
- BACA: POLIS THAILAND RAMPAS LAMBORGHINI AVENTADOR EDISI KHAS BERNILAI RM5.5 JUTA MILIK SUSPEK LAMAN WEB JUDI ONLINE
- BACA: MISTERI KERETA HILANG, DILARIKAN KE THAILAND – POLIS THAILAND BOLEH BANTU TAPI ADA ‘PENGERAS’ RM12K
- BACA: GARA-GARA SWAFOTO, PELANCONG MENINGGAL DUNIA SELEPAS TERJATUH DARI KERETA API “DEATH RAILWAY” DI THAILAND