Buletin

POTONG GAJI DREBAR KERETA API RM2, BOS KENA SAMAN RM80K

Seorang pemandu kereta api di Jepun memfailkan saman sebanyak 2.2 juta yen (RM80,205) terhadap majikan selepas gajinya dipotong sebanyak 56 yen (RM2.04).

Gaji pemandu kereta api berkenaan dipotong berikutan didakwa menyebabkan kelewatan operasi selama seminit.

Menurut laporan Daily Mail, pekerja tersebut dijadualkan untuk mengendalikan kereta api kosong ke Stesen Okayama di selatan negara itu pada 18 Jun tahun lalu.

Namun, pekerja itu tiba di platform salah apabila mengambil alih daripada pemandu lain.

Dia kemudian bergegas ke platform yang betul namun kesilapan itu menyebabkan masa pelepasan dan ketibaan kereta api  ke depoh masing-masing tertunda selama seminit.

Situasi itu menyebabkan West Japan Railway Company (JR West) memotong 85 yen (RM3.10) daripada gaji bulan Julai pekerja terbabit.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan mengurangkan denda kepada 56 yen (RM2.04) selepas pemandu itu membawa kes ke Pejabat Pemeriksaan Standard Buruh Okayama.

Pekerja itu enggan menerima pengurangan dan berhujah kelewatan tersebut tidak menyebabkan gangguan sebenar kepada jadual waktu atau penumpang kerana kereta api dalam keadaan kosong ketika kejadian.

Pemandu terbabit membawa kes ke Mahkamah Okayama pada Mac lalu dan menuntut ganti rugi. – BBC

Google ads
Back to top button