
PRO-NET, CHARGESINI JALIN KERJASAMA – PERLUASKAN RANGKAIAN PENGECASAN EV
Proton New Energy Technology (PRO-NET), peneraju dalam sektor kenderaan elektrik (EV), baru-baru ini menandatangani perjanjian untuk mengembangkan rangkaian pengecasan EV bersama ChargeSini.
Kerjasama ini menekankan komitmen penting PRO-NET dalam membangunkan lanskap EV dan menyediakan ekosistem terbaik demi kemudahan pelanggan.
Dengan mengintegrasikan rangkaian stesen pengecas ChargeSini termasuk pengecas pantas DC terletak di hotel, pasar raya, dan pusat beli-belah yang boleh diakses melalui Aplikasi Hello smart, PRO-NET terus membuka jalan bagi pengalaman pengecasan EV lebih lancar kepada semua pengguna.
Integrasi ini menandakan satu tanda aras yang ketara kerana ia dapat meluaskan rangkaian pengecasan awam daripada 70 peratus hingga kepada lebih 75 peratus di seluruh negara.
Kolaborasi ini mencerminkan nilai dedikasi PRO-NET dan sentiasa mencari rakan kongsi yang dapat meningkatkan kerjasama PRO-NET dengan ‘Penyedia Perkhidmatan Pengecasan’ (CPO) seperti Gentari, chargeEV, serta jomcharge.

Dengan kolaborasi bersama ChargeSini, PRO-NET mengukuhkan komitmen untuk menyediakan penyelesaian yang mudah dan lebih dipercayai bagi pengguna smart.
Dengan penambahan rangkaian pengecas EV ChargeSini, Aplikasi Hello smart kini merupakan aplikasi tunggal pertama di Malaysia yang dapat menyediakan akses ke stesen pengecasan dari empat CPO berbeza.
Aplikasi Hello smart akan mempunyai lebih daripada 75 peratus rangkaian titik pengecasan awam di seluruh negara dan diperkuatkan dengan rangkaian pengecasan ChargeSini.
Penambahbaikan ini akan dikemaskini dalam Aplikasi Hello smart pada suku ketiga, menyediakan pengguna dengan pengalaman pemilikan lebih lancar dan mudah.
Menerusi Aplikasi Hello smart dan Display Head Unit (DHU) dalam kenderaan, pengguna juga boleh mencari dengan mudah lokasi stesen pengecasan yang terdekat.
Selain itu, pengguna smart turut dapat memulakan sesi pengecasan dan membuat pembayaran secara atas talian menerusi Aplikasi Hello smart.
Pendekatan ini membolehkan pengguna menguruskan keperluan pengecasan mereka, dari mencari lokasi stesen sehingga terus kepada pembayaran, segalanya hanya di hujung jari.
Dalam pada itu, PRO-NET juga sedang bersiap sedia untuk melancarkan smart #3 yang akan hadir pada suku ketiga tahun ini, diikuti pula dengan kemunculan PROTON EV pada tahun 2025.
- BACA: BELI TAYAR EV MICHELIN, DAPAT PULANGAN TUNAI E-DOMPET SEHINGGA RM400
- BACA: CHERY AUTO MALAYSIA LANCAR UNIT KE-10,000 DI KEMUDAHAN INOKOM, PENGELUARAN TIGGO 7 PRO CKD BERMULA
- BACA: JUALAN PERLAHAN, GWM BERHENTIKAN KAKITANGAN, TUTUP OPERASI DI MUNICH
- BACA: GARAJ TERBAKAR, EMPAT KERETA, DUA MOTOSIKAL MUSNAH DIJILAT API







