Buletin

JUALAN PERLAHAN, GWM BERHENTIKAN KAKITANGAN, TUTUP OPERASI DI MUNICH

Nampak gayanya perjalanan pembuat kereta China, Great Wall Motors di Eropah tidak berjalan dengan lancar apabila syarikat itu dilaporkan akan menutup ibu pejabat Munich di Jerman, memberhentikan seluruh kakitangan, termasuk pengurusan.

Menurut laporan, model GWM akan terus dijual di pasaran Eropah sedia ada, tetapi pengembangan yang dirancang sebelum ini ke negara lain dibatalkan.

Keputusan untuk menutup ibu pejabat Eropah berkemungkinan besar diambil kerana jualan perlahan barisan jenama itu di Jerman.

Pada tahun 2023, Great Wall menjual sejumlah 316,018 unit di pasaran luar negara, tetapi hanya 6,300 daripadanya adalah di Eropah.

Terdahulu, pembuat kereta itu menangguhkan sasarannya untuk menjual 1 juta kereta di luar China dari 2025 hingga 2030, kerana keadaan pasaran yang mencabar.

Seperti yang dilaporkan oleh media Jerman Magazin, pejabat Great Wall di Munich ditutup pada penghujung Ogos, dan kesemua 100 pekerja akan diberhentikan.

Penutupan pejabat Eropah bermakna keseluruhan pengurusan kini akan dijalankan terus dari ibu pejabat Baoding di China.

Google ads
Back to top button