
PRODUKSI TESLA MODEL Y JUNIPER BERMULA JANUARI 2025 DI CHINA
Tesla Model Y bakal menerima kemas kini terbesar sejak pelancarannya pada tahun 2019.
Walaupun perubahan ini tidak mengubah sepenuhnya reka bentuk asas, ia membawa inovasi baharu yang mampu mengekalkan kedudukan Model Y sebagai salah satu kenderaan elektrik (EV) terlaris di dunia.
Baru-baru ini, prototaip Model Y yang ditutupi penyamaran telah dikesan di California, serentak dengan laporan bahawa pengeluaran akan bermula di China seawal Januari 2025.
Menurut laporan media China, Model Y versi facelift, yang menggunakan kod nama “Juniper,” dijangka mula dikeluarkan di kilang Tesla di Shanghai pada bulan depan.

Ini selaras dengan kenyataan Elon Musk sebelum ini bahawa Model Y versi facelift tidak akan dilancarkan sebelum 2024.
Selain itu, Tesla juga dilaporkan telah membina prototaip di Shanghai sebagai persediaan untuk pengeluaran penuh.
Dua Versi Baharu untuk Pasaran Global dan China
Tesla Model Y baharu ini akan hadir dalam dua versi utama. Pertama, model lima tempat duduk standard yang menawarkan pilihan tempat duduk baris ketiga untuk dua penumpang tambahan.
Sementara, model enam tempat duduk pula hadir dengan jarak roda lebih panjang yang direka khas untuk pasaran China.
Laporan mendedahkan model enam tempat duduk ini dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun 2025.
Reka Bentuk Luaran yang Lebih Moden
Dari segi reka bentuk, Model Y Juniper akan mengambil inspirasi daripada Model 3 ‘Highland’, dengan lampu hadapan lebih nipis dan bampar depan yang lebih aerodinamik.
Dalam video intipan yang dikongsi di platform X, ia turut dipadankan lampu DRL baharu, bersama rim baharu dengan reka bentuk lebih bergaya.
Bahagian belakang masih dirahsiakan, tetapi gambar intipan sebelum ini menunjukkan bar lampu LED penuh dengan kemasan frosted, menambahkan sentuhan moden kepada rekaan kenderaan ini.
Kemewahan Minimalis di Bahagian Dalaman
Bahagian dalaman Model Y juga mengalami transformasi besar. Batang pengelap cermin dan isyarat membelok serta pemilih gear akan digantikan dengan reka bentuk minimalis.
Pemandu akan menikmati stereng baharu, paparan infotainmen dengan bezel lebih nipis, tempat duduk lebih selesa, pencahayaan ambien pelbagai warna, serta terdapat paparan tambahan untuk penumpang belakang.
Tambahan, Tesla juga meningkatkan kualiti bahan dalaman dan mengurangkan bunyi bising serta getaran melalui peningkatan pada casis dan suspensi.
Tesla telah menurunkan harga Model Y di China sebanyak ¥10,000 (kira-kira RM6,370), menjadikannya pada harga terendah dalam sejarah.
Strategi ini nampaknya berjaya, dengan 373,000 unit Model Y terjual di China dari Januari hingga November 2024, menyumbang 73 peratus daripada jualan Tesla di rantau itu.
Dengan pengeluaran dijangka bermula tidak lama lagi, Tesla Model Y Juniper bakal menjadi saingan yang lebih hebat dalam pasaran EV global, mencerminkan usaha syarikat itu untuk terus mendahului inovasi automotif.