Buletin

PROGRAM PEMBANGUNAN PELUMBA MUDA TOYOTA GAZOO RACING LATIH PELUMBA MUDA JADI LEBIH KOMPETITIF

Apabila kita sebut tentang perlumbaan di litar, perkara pertama yang terbayang dalam kepala ialah populariti perlumbaan Formula 1.

Bukan sahaja perlumbaan F1 lebih laju, malah jentera yang digunakan juga lengkap dengan teknologi terkini yang sangat mahal.

Kos untuk menyiapkan jentera perlumbaan F1, perlumbaan dan segala peraturan yang ditetapkan oleh FIA cukup tinggi.

Tetapi nasib baik masih ada syarikat automotif yang sudi membelanjakan wang bagi menggalakkan aktiviti sukan permotoran di peringkat akar umbi dan bukannya F1.

Program Pembangunan Pelumba Muda Toyota Gazoo Racing merupakan satu aktiviti sukan permotoran yang ditaja sepenuhnya oleh Toyota adalah contoh terbaik bagaimana sukan permotoran ini boleh dilakukan dengan kos yang rendah.

Selain dapat mencungkil bakat muda untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, program ini merekrut Putera Adam Halim yang baru berusia 14 tahun yang sebelum ini berlumba dengan go-kart selama 8 tahun. Walaupun muda, Putera Adam Halim merupakan juara 2 kali Asia bagi perlumbaan go-kart.

“Peralihan daripada perlumbaan go-kart kepada perlumbaan dengan menggunakan kereta sedan merupakan satu pengalaman baru buat saya. Saya perlu membiasakan diri untuk menggunakan penukaran gear bercorak H dan belajar menukar gear.

“Proses ini mengambil masa, tetapi saya rasa saya boleh melakukannya” ujar Putera yang menyertai satu program khas permulaan di bawah naungan UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang bertujuan untuk membantu pelumba go-kart dan pelumba simulasi beralih kepada perlumbaan kereta sedan sebenar.

“Berlumba dengan kereta sedan tidaklah susah seperti berlumba dengan go-kart. Ini kerana di dalam kereta, anda ada masa untuk berfikir dan berehat berbanding dengan go-kart yang memerlukan lebih tumpuan fizikal dan hampir tiada masa untuk berehat. Agak susah untuk merasai fenomena understeer dan over steer dalam kereta berbanding dengan gokart.

“Keadaan di dalam kereta juga lebih panas berbanding go-kart disebabkan tiada pengudaraan. Go-kart lebih terbuka dan terdedah kepada angin. Saya juga perlu meningkatkan kecergasan diri kerana perlumbaan kereta sedan memerlukan masa lebih lama dan jarak yang lebih panjang,” tambah Putera.

Kombinasi cabaran fizikal, mental, teori dan sesi latihan di trek perlumbaan mendedahkan 6 pelatih muda kepada pelumba profesional Malaysia dan instruktor pemanduan terlatih.

Visi utama program ini bukan sahaja untuk dijadikan batu loncatan tapi menjadikan 6 pelatih muda ini berupaya beralih kepada perlumbaan kereta sebenar dan mengekalkan corak pemanduan yang kompetitif.

Pelatih juga perlu memenuhi beberapa kriteria kelayakan yang ditetapkan oleh Motorsport Association of Malaysia sebelum diakui dan dibenarkan untuk berlumba dalam siri perlumbaan Toyota Vios Challenge Musim ke 4.

“Dalam perlumbaan go-kart, anda belajar semua perkara asas berkaitan perlumbaan. Ia menjadi asas yang bagus untuk perlumbaan kereta sebenar.

“Saya beruntung kerana terdedah pada perlumbaan go-kart sejak usia muda dan berharap dapat mengekalkan prestasi yang sama dalam perlumbaan kereta,” katanya lagi.

Ketika berusia 8 tahun dan kali pertama menyertai perlumbaan go-kart, Putera memulakan perlumbaan di kedudukan ke-3 dan mengakhiri perlumbaan pada kedudukan ke-5.

Putera juga berjaya melayakkan diri untuk bertanding di Eropah. Pencapaian terbaik beliau ialah 2 kedudukan podium dalam siri perlumbaan WSK Super Master di Itali.

GALERI

Google ads
Back to top button