Artikel Pilihan

TOYOTA SPORTS 800 – MOYANG KEPADA KERETA SPORTS KELUARGA TOYOTA

Dalam meniti zaman moden ini, sudah banyak kita melihat Kereta Sports dari jenama Toyota. MR2, Supra, GT86 dan yang terbaharu, Supra 2020. Kesemuanya adalah kebanggan Toyota dalam usaha mereka untuk memenuhi kehendak pembeli yang berjiwakan kelajuan.

Tapi BK percaya, tidak ramai yang mengetahui tentang model Toyota Sports 800 ini. Marilah BK perkenalkan, Toyota Sports 800, sebuah Kereta Sports pertama dalam keluarga Toyota.

Model ini pertama kalinya diperkenalkan kepada umum pada April 1965, kira kira selepas dua tahun setengah model konsep Toyota Publica Sports diperkenalkan sewaktu Tokyo Motor Show pada tahun 1962. Ketika itu model konsep tersebut kelihatan tidak berapa nak Sports apabila menggunakan pintu gelunggur yang bersekali dengan kanopi bumbung.

Sudah tentu pengenalan Toyota Sports 800 ini adalah jawapan yang tepat kepada beberapa model Kereta Sports sedia ada seperti Honda S500, Datsun Fairlady dan juga Daihatsu Compagno.

Jikalau model konsep dengan penggunaan enjin 697cc sahaja dengan kuasa kuda 28 hp, model produksi massa ini menggunakan enjin 2U-B 790 cc dengan kuasa 45 hp. Suatu peningkatan yang cukup ketara apatah lagi dengan penggunaan karburator berkembar.

Kereta Sports dengan hasil rekaan Shozo Sato ini dianggap cukup aerodinamik pada era tersebut manakala Ketua Jurutera Tatsuo Hasegawa yang berpengalaman dalam rekaan kapal terbang bertanggungjawab memastikan kereta ini cukup ringan dan lasak untuk digunapakai. Dan disebabkan itu, Toyota Sports 800 ini berupaya mencecah kelajuan maksimum sehingga 160 km/j. Malah, kereta ini juga pernah beraksi dalam perlumbaan Fuji 24 Hour dan berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang dua buah Toyota GT2000.

Sungguhpun demikian, jangka hayat Toyota Sports 800 ini tidak lama, diantara tahun 1965 hingga ke tahun 1969 sahaja. Dianggarkan sejumlah hanya 3,131 unit sahaja dibina dan hanya dijual di Jepun. Tidak pernah dipasarkan ke luar negara ketika itu. Walau bagaimanapun, sejumlah 300 unit terhad telah dibina dengan pemanduan sebelah kiri khusus untuk kegunaan Anggota Tentera Amerika Syarikat yang berpangkalan di Okinawa. Sudah tentulah ada diantaranya telah dibawa pulang ke kampung halaman di Amerika Syarikat.

BACA : UNIT PERTAMA TOYOTA SUPRA 2020 DILELONG PADA HARGA RM8.63 JUTA

BACA : TOYOTA GT86 EDSI KHAS – BRITISH GREEN RACING

Google ads

B K

Back to top button