Buletin

PROTON SERAH 8 UNIT X70 UNTUK BANTU ANGGOTA BARISAN HADAPAN DI SABAH

PROTON baru-baru ini menyerahkan lapan unit Proton X70 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  di Sabah. Kenderaan tersebut akan digunakan untuk operasi logistik dan pengawasan dalam usaha membasmi COVID-19 di negeri itu. 

Upacara penyerahan diadakan di cawangan Proton 4S Fook Loi Corporation di Kota Kinabalu. PROTON dilihat cukup komited dalam memberi sokongan kepada usaha KKM sepanjang tahun ini.

Penyerahan X70 kepada KKM Sabah adalah tambahan kepada 50 unit Proton X70 yang telah dipinjamkan ke Kementerian di permulaan pandemik pada bulan Mac.

“Pandemik COVID-19 mungkin salah satu cabaran paling sukar yang pernah dihadapi oleh negara kita. Sebagai jenama Malaysia, PROTON wajib menyokong usaha pihak kerajaan. Justeru, kami telah memberi bantuan sejak dari awal lagi. 

“Operasi logistik di Sabah lebih sukar berbandingan Semenanjung Malaysia. Proton X70 yang diserahkan akan digunakan untuk pergerakan ahli perubatan seperti doktor, jururawat dan pegawai KKM ke kawasan yang diperlukan. 

“Kami harap sumbangan ini akan dapat meringankan beban barisan hadapan perubatan di Sabah,” kata  Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah.

Selain meminjamkan kenderaan, PROTON juga menghasilkan 60,000 unit pelindung muka pada April lalu di kilangnya di Shah Alam. Pelindung muka itu kemudian diagihkan ke hospital kerajaan serta petugas barisan hadapan seperti anggota polis dan tentera.

Google ads
Back to top button