
NISSAN GT-R BODY GTT
Sejak zaman Toyota GT2000 lagi, kereta sports cukup sinonim dengan teknologi Timur yang biasanya lahir daripada sukan bermotor di trek atau rali. Generasi sekarang cuma tahu Evo atau Subaru. Padahal, lama sebelum itu sudah ada kereta sport yang lagi canggih.
Orang putih kata, ‘driver oriented car’. Maksudnya kereta yang dicipta supaya pemandu dapat mengawal kereta sepenuhnya, bukan penuh dengan gajet sana sini.
Idea kereta sports mestilah pacuan roda belakang dengan enjin susunan depan untuk pembahagian berat 50-50 yang setara. Britain membuktikannya dengan Jaguar, Amerika menerusi Ford Mustang, manakala Itali dengan Ferrari dan Lamborghini.
Posisi pacuan itu menjadi prinsip yang tidak mahu diubah (pernah jumpa Porsche tarik depan?), sehinggalah pengeluar kereta Jepun mencipta pacuan empat roda secara serius. Maksud serius ialah dengan pembahagian multi tork, sistem yang lebih kompleks seperti HICAS, AWS atau AWD.
Baiklah. Kaitannya? GT-R. Sebuah kereta yang berlencana istimewa itu namanya Nissan Skyline. Kereta yang dibalut dengan sticker biru ini ialah Skyline bukan GT-R yang cuba jadi GT-R. Ia kerja mudah, cuma tinggal berapa banyak modal yang sanggup dibuang. Tetapi, jangan pula menyesal apabila tekan kalkulator harganya sama saja dengan body GT-R original. Amacam?
Dilema pembelian R34 GTR ialah tahun buatannya yang lama dan harganya masih lagi (1999-2002), sedangkan bank tidak mahu beri pinjaman. Body GTT pula, harga boleh dapat bawah RM100,000 dan pinjaman tidaklah sesusah GT-R.
Namun, bezanya banyak. Satu Neelofa dan satu lagi Zaiton Sameon. Kita bukan cakap perihal kuasa sahaja. Semua benda, gajet, dalaman, body kembang dan sistem pacuan 4WD. Jadi, nk buat apa lagi, convert lah!!!
Itu yang banyak dibuat pada body GTT, sama macam kereta ini. Dipendekkan cerita, spesifikasi asal kereta ini ialah GTT RB25 Neo automatik yang disumpah menjadi Skyline GT-R separuh-separuh.
Mula-mula, enjin RB25 disedekahkan kepada kawannya. Kemudian, pemiliknya tidak menoleh ke belakang lagi dengan memasukkan enjin RB26 dan pasang pada shaft belakang. Tidak ada sistem 4WD. Sebaliknya sebuah mesin FR yang kemudiannya dibina sekali lagi. Turbo Garret GT35 dipasang bersama piston Greddy 87.5, head port dan polish dan boost 1.9 bar. Pengsan.
Bahagian bawah enjin mendapat Conrod Tomei, valve spring HKS, intercooler kit Nismo dan ditambah dengan injektor SARD 750cc. Minyak jangan kiralah dia punya mentekadarah. Pam saja 255L Walbro dengan regulator SARD. Management guna Power FC dengan boost Controller Greddy Profec B spec II.
Pacuan dua roda bukanlah satu kekurangan, sebab apabila kereta dilancarkan ia jadi lebih cepat. Cuma melayang ke kiri kanan sikit-sikit tu biasalah, barulah racing namanya. Kotak gear RB25 dipasangkan dengan klac dan flywheel Ogura bersama LSD Nismo.
Skyline ini menggunakan suspensi boleh laras TEIN Monoflex pada keempat-empat sudut bagi memastikan kereta bergerak lurus. Breknya bagaimanapun agak cacat sebab tak guna brek Brembo, ada brek Nissan 4 pot depan sahaja.
Rim Advan RS yang sebenarnya memang lebar (18X9.5 ET25) masih tidak cukup lebar apabila kit depan dan belakang dikembangkan mengikut spec GT-R. Wheel spacer 20mm diikat pada hub, sebelum rim dipasang dengan tayar 255/45 belakang dan 235/45 di depan. Patutnya guna 40 siri belakang, baru nampak nipis sikit.
Bahagian dalaman kereta ini dilengkapi stereng Momo Race dan kerusi pemandu Racecraft. Lain-lain masih milik GTT. Benda paling susah nak menyamar ialah meter paparan multi fungus GT-R di konsol tengah, sedangkan GTT guna meter tradisional. Kalau dapat MFD pun, dengar cerita pendawaiannya bukan senang nak buat.
Bodykit kereta memilih spec GT-R Nismo Z tune. Nismo Z Tune ialah versi GT-R 34 yang terakhir pada 2002. Ia boleh dikesan melalui bentuk fender hadapannya yang unik.
Z-Tune bukanlah kereta baru keluar kilang. Nismo membelinya di pasaran terpakai dan ‘membuat semula’ enjin, talaan, bodykit dan menjualnya dalam jumlah yang terhad. Memang sadis bunyinya. Tetapi itulah hakikatnya apabila Nissan tidak mahu lagi menghasilkan kereta-kereta sebegini.
Masa terus berlalu dan saya rasa nama Skyline memang sangat mulia dari kacamata Oakley tiruan penggemar kereta sports tulen Jepun. Cuma saya agak terkilan apabila nama Skyline dipakai sewenang-wenangnya walaupun pada kereta yang berspesifikasi bapuk. Tahukah anda bahawa Crossover baharu Nissan ada nama Skyline?
[hr]SPESIFIKASI
Model: Nissan Skyline GTT / 2001
Enjin: RB26DETT, convert single turbo Garret GT35, piston Greddy 87.5mm, port n polish, valve spring HKS, boost 1.9 bar, BOV Greddy Type R, intercooler kit Nismo, radiator Koyorad, SARD 750cc, SARD fuel regulator, Power FC dan Greddy Profec B spec II
Kotak gear: Manual lima kelajuan RB25, klac Ogura, LSD Nismo
Suspensi: TEIN Monoflex
Brek: 4 pot Nissan
Rim: Advan RS 18X9.5 ET25, wheel spacer ISC 20mm.
Tayar: 235/45 (hadapan), 255/45 (belakang)
Dalaman: Seat Racecraft, stereng Momo Race, timer Pivot, pedal Levoc.
Luaran: Bodykit Skyline R34 GTR Nismo Z Tune. Wrap sticker biru matt.
[hr]GALERI