Buletin

PROTON TAWAR KAD MINYAK RM500 UNTUK PEMBELI KERETA BUAT E-HAILING

Memandangkan kini semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada industri e-hailing atau e-panggilan bagi menjana pendapatan tambahan, permintaan untuk mendapatkan kereta yang menjimatkan minyak, selesa dan berdaya tahan turut meningkat. 

Sebagai langkah untuk mempromosikan kereta PROTON dalam industri tersebut, syarikat telah memperkenalkan satu tawaran insentif kepada pembeli.

Pelanggan yang membeli Proton Persona, Iriz, Exora, Saga atau Proton X70 baharu dari pusat jualan PROTON akan diberi kad hadiah minyak Petronas bernilai RM500. Mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan potongan harga dengan nilai yang sama. 

Untuk mendapatkan tawaran ini, pelanggan perlu mengemukakan salinan lesen e-panggilan PSV yang sah sebagai bukti dan mendaftarkan kenderaan tersebut di atas nama sendiri.

Selain kad minyak, potongan harga tambahan turut ditawarkan bagi model terpilih bermula  RM300 hingga RM1,500. Promosi berlangsung hingga 31 Disember 2020. Ia terbuka untuk individu yang ingin membeli kereta bagi tujuan sama iaitu e-panggilan oleh pemandu yang berbeza. 

Namun, pembeli harus mengemukakan Surat Persetujuan yang menyatakan tujuan pembelian beserta nama penuh, nombor kad pengenalan dan salinan lesen e- panggilan pemandu berkenaan.

“Kami ingin memudahkan mana-mana individu yang ingin membeli kereta Proton bagi tujuan e-panggilan. Jika Oleh pembeli kereta ialah isteri dan pemandunya adalah suami, kami hanya memerlukan dokumen untuk pengesahan bagi meluluskan pembelian,” kata Ketua Jualan Korporat PROTON Edar, Fazli Hisham Shukor.

Matlamat PROTON memperkenalkan tawaran ini adalah untuk memudahkan mereka yang baharu dalam industri e-

panggilan membuat keputusan pembelian kereta. Bagi pemandu sedia ada, mereka boleh menggantikan kereta dengan kereta baharu. 

Maklumat lanjut, sila hubungi pusat jualan PROTON Edar terdekat atau e-mel ke [email protected]

Google ads
Back to top button