Artikel PilihanBuletin

PROTON X50 AKAN DILANCAR TAHUN 2019? SEBENARNYA TIDAK…

Sejak semalam tular foto yang dikongsi oleh laman sosial instagram Geely Auto dengan hashtag Proton X50 dan Geely SX11. Sebelum menyiarkannya, kami menghubungi beberapa sumber yang rapat dengan Proton tentang model ini. Dan jawapan pertama yang kami dapati ialah…

Laman Instagram tersebut bukanlah laman rasmi dari mana-mana syarikat dalam kumpulan Geely. Berkemungkinan besar dibuat oleh peminat Geely atau peminat Proton dengan memanipulasikan model baru yang dilancarkan itu.

Dengan kata lain, ia adalah laman instagram PALSU.

Dan persoalan lain yang sering kedengaran ialah kononnya SX11 yang akan dinamakan sebagai Proton X50 akan dilancarkan ke pasaran Malaysia pada tahun ini…

Dan jawapan yang kami perolehi setelah siasatan menyeluruh mendapati, ia TIDAK akan dilancarkan pada 2019.

HANYA X70 CKD PADA 2019 

Mengikut persetujuan asal, Proton hanya mendapat model X70 pada peringkat ini. Proton X70 adalah sebahagian daripada pakej perjanjian yang ditandatangani pada 2017 sewaktu Geely membeli sebahagian besar pegangan saham dalam Proton Holdings.

Mengenai Geely SX11 (X50) dan Jia Ji (Exora) ia memerlukan masa yang cukup panjang bagi membolehkan direka dengan spesifikasi pemanduan sebelah kanan, VTA (Vehicle Type Approval) ujian lapangan tempatan dan beberapa hal lain lagi sebelum ia boleh dilencanakan dengan nama Proton.

Menurut sumber kami, ia memerlukan SEKURANG-KURANGNYA SETAHUN dari model pertama Geely yang keluar, model ujian, prototaip, ujian lapangan, sehinggalah ke produksi sebenar di Kilang Proton.

Kerana hanya X70 sahaja yang mendapat keistimewaan CBU. Tiada lagi model CBU Proton selepas ini kerana semuanya akan dipasangkan di kilang yang telah diperbesarkan di Tanjung Malim.

TUMPUAN SEKARANG ADALAH PROTON X70.

Buat masa ini, gandingan Proton – Geely hanya menumpukan kepada produk X70 yang seperti anda tahu,  belum pun masuk peringkat CKD lagi. Kesemua X70 yang ada dan bakal dijual sehingga September nanti adalah versi CBU.

BACA: X70 AKAN CKD OKTOBER 2019

Mereka juga belum mendapat respon pengguna yang menyeluruh. X70 adalah produk pertama Proton – Geely era baru dan mereka komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan lepas jualan, jaminan dan dalam masa yang sama, menyiapkan fasiliti pemasangan di Tanjung Malim yang juga memerlukan sela masa di mana mesin-mesin ini dibawa dari kilang asalnya di China.

Ya. kita bercakap tentang X70, bukannya SX11 yang mana di China pun baru sangat dijual pun.

Ia satu perjalanan yang panjang kerana model-model ini tidak direka dari peringkat awal sebagai spesifikasi pemanduan kanan. Model-model Geely yang baru sahaja diperkenalkan di China tidak akan ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Memasang sebuah kereta tidak semudah memasang peti sejuk atau mesin basuh walaupun dengan kemudahan kilang paling canggih di dunia sekalipun.

APA MODEL PROTON BARU 2019?

Tahun ini juga Proton akan melancarkan model baru, tapi bukan model baru sepenuhnya. Mereka akan perkenalkan facelift (MC) Persona, Iriz MC2 dan mungkin juga Saga.

Pada suku keempat pula, X70 versi CKD pula akan memulakan produksi dan mengikut maklumat yang kami terima, ia X70 pun masih guna enjin 1.8 TGDi versi CBU dan bukannya 1.5 3 selinder turbo seperti yang heboh diperkatakan.

BACA: X70 ENJIN 1.5T? INI KATA BOS PROTON

Jadi, kepada anda yang berangan menunggu X50 pada tahun ni, simpan dulu impian tersebut. Ia akan dilancarkan juga tapi bukan pada tahun ini.

Lambat lagi lah… tu sahajalah yang kami boleh cerita setakat ini..

Cerita lebih-lebih nanti berdering tak henti pula telefon pejabat ni….

GALERI

 

Google ads
Back to top button