Buletin

HARGA RON95 TURUN 27 SEN MULAI TENGAH MALAM INI! HARGA RON97 & DIESEL PUN TURUN JUGA

Berita baik untuk semua!

Kerajaan hari ini mengumumkan bahawa harga harga petrol RON95 akan diturunkan sebanyak 27 sen daripada RM2.20 seliter menjadi RM1.93 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Sementara harga runcit petrol RON97 akan diturunkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.23 seliter. Harga runcit diesel pula akan diturunkan daripada RM2.18 seliter kepada RM2.04 seliter.

Memetik laporan Malaysiakini, semua harga itu berkuat kuasa mulai 5 hingga 11 Januari 2019. Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menerusi satu kenyataan rasmi.

Perkembangan tersebut bermakna Penetapan harga runcit produk petroleum dilaksanakan secara mingguan akan bermula jam 12 tengah malam Sabtu, 5 Januari 2019.

Menurut Guan Eng, harga runcit produk petroleum bakal diselaraskan semula pada setiap minggu mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM). Ia dilihat selari dengan trend penurunan harga minyak di pasaran dunia sekarang.

Berbeza dengan sebelum ini, pengumuman harga runcit bahan api akan dibuat pada hari Jumaat setiap minggu dan berkuat kuasa mulai hari Sabtu sehingga Jumaat minggu seterusnya.

RON95 kekal RM2.20 seliter

“Kerajaan komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum. Seterusnya melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

“Maksudnya, apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan. Ini  bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga yang ketara, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter bagi petrol RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel melalui pemberian subsidi, jika harga pasaran dunia naik,” kata Guan Eng.

Harus tahu bahawa kaedah baru itu merupakan satu inisiatif kerajaan persekutuan Pakatan Harapan yang tidak pernah diamalkan sebelum ini.

Pengekalan harga pada paras tersebut tertakluk sehingga pemberian subsidi petrol RON95 secara bersasar dilaksanakan mulai pertengahan tahun ini. Kemudian, harga runcit produk petroleum diapungkan secara terkawal mengikut harga pasaran.

Google ads
Back to top button