Artikel Pilihan

PROTON X50 – BAKAL MENGGUGAT SEGMEN B & C?

Semakin teruk krisis pemanasan global, semakin kerap hujan dan ribut bakal melanda negara yang berada di garisan khatulistiwa. Maka makin kerap banjir kilat berlaku kerana jumlah hujan yang diterima oleh sesuatu kawasan tidak lagi mampu ditampung oleh sistem perparitan yang sedia ada. Secara tidak langsung memiliki SUV atau crossover adalah pilihan yang lebih baik untuk anda meredah banjir kilat dengan mudah

Mungkin hipotesis saya tidak tepat tapi tidak dapat dinafikan SUV atau crossover semakin mendapat tempat di hati pengguna. Dulu SUV dan crossover hanya boleh dijual di dalam segmen C (CRV, X-Trail, Kia Sportage) namun pada masa ini SUV dan crossover mula ditawarkan pada segmen yang lebih murah iaitu segmen B. Contohnya seperti HRV, BR-V, Haval, Renault Captur, dan juga Mazda CX-3.

Namun lama kelamaan crossover yang diperkenalkan dalam B segmen bakal membuatkan pengguna beralih dari menggunakan kereta sedan ataupun kompak kepada crossover jika harga yang ditawarkan tidak terlampau tinggi. Buat masa sekarang crossover B segmen yang paling murah ialah Haval M4 dengan harga sekitar RM 60,000.

Manakala Perodua Aruz ditawarkan dengan harga RM 72,000-77,000, Honda BR-V pada harga 80,000-87,000, Honda BRV RM 108,00 untuk versi paling murah, Mazda CX-3 pula ditawarkan dengan harga RM 128,000 dan Toyota CH-R dengan saiz yang tidak jauh berbeza dengan HRV dan CX-3 ditawarkan pada harga RM 150,000.

Persoalanya ialah berapakah harga yang bakal ditawarkan untuk Proton X50 nanti. Apabila Proton X70 dilancarkan tahun 2018, harga yang paling murah untuk crossover C segmen tersebut ialah sekitar RM 99,800 sudah cukup murah untuk menembusi pasaran yang didominasi oleh Honda CRV. Geely sudahpun melancarkan Geely Coolray (aka X50) di pasaran Filipina dengan harga permulaan sekitar RM 78,000 untuk varian termurah, RM 87,000 untuk varian pertengahan dan juga RM 96,000 untuk varian paling premium

Jika ditawarkan di Malaysia dengan harga yang sama, ia bakal memberikan pengguna pilihan yang sangat baik berbanding dengan pesaingnya yang lain seperti HRV, CX-3 dan juga CH-R. Kesemua varian tersebut ditawarkan dengan enjin 3 silinder 1500cc yang menghasilkan kuasa 175 kuasa kuda dengan 255Nm tork. Kesemua varian ditawarkan dengan pilihan transmisi 7 kelajuan klac berkembar.

Terdapat satu lagi pilihan enjin 3 silinder 1000cc yang ditawarkan dengan kuasa 134 kuasa kuda dengan 205Nm tork. Namun setakat ini kita tidak dapat pastikan samaada enjin tersebut akan ditawarkan di pasaran Malaysia nanti. Cuma pada pandangan penulis, enjin 3 silinder walaupun nampak menarik di atas kertas namun lama kelamaan ia akan tetap dihantui dengan masalah gegaran selepas getah pelapik cagak enjin mulai haus.

Katakan dengan kos untuk melakukan kerja-kerja kejuruteraan dengan menukar pemanduan sebelah kiri ke kanan akan meningkatkan harga kereta sebanyak RM5000, maka varian termurah X50 akan dapat dijual pada harga RM 83,000 dan varian paling premium akan dijual pada harga RM 101,000. Bukan sahaja harga kompetitif yang ditawarkan di Filipina, malah Geely Coolray turut dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan dan juga rekaan yang lebih futuristik di dalam kelasnya.

Suv ini dibangunkan di atas platform B Modular Architecture datang dengan rekaannya yang tersendiri merupakan hasil usaha 3 jurureka bentuk iaitu Jamie Liam Barret (rekaan luar), Cong Mei Song (rekaan dalaman) dan Gu Mian (jurureka dan fabrik dalaman). Sudah tentu rekaan corong penyaman udara mirip ekzos pesawat an

Media Filipina pula melaporkan bahawa ciri parkir sendiri yang ditawarkan pada Coolray merupakan ciri yang paling disukai oleh mereka dan juga raykat Malaysia yang gemar memarkir secara senget. Pemandu hanya perlu menekan butang khas dan sistem automasi akan memarkir kereta ini dengan sendiri tanpa sebarang input diperlukan dari pemandu pada pedal minyak dan tuil gear.

Antara peralatan lain yang ditawarkan termasuklah lampu utama LED untuk versi premium, Rim 18 inci, cermin panoramic suria, sistem multimedia Android 10.25 inci, dengan 3 mode pemanduan. Dari segi prestasi di atas kertas, Coolray ini mampu memecut 0-100km/j dalam masa 7.9 saat dan penggunaan petrol sekitar 16km per liter. Namun seperti biasa ia memerlukan ujian jalanan dijalankan untuk mengesahkan data yang diberikan

Jadi dengan harga yang ditawarkan jika X50 dipasarkan dengan harga yang dijangkakan bersama-sama kelengkapan yang sama seperti yang dipasarkan di Filipina, sudah pasti sentimen harga akan membuatkan bakal pembeli memilih X50 berbanding pesaingnya yang lain. Tambahan pula kami menjangkakan bahawa X50 akan menawarkan pakej keselamatan yang sama seperti X70.

Sistem Pelayaran Automatik Adaptif, Sistem Amaran Menukar Lorong, Sistem Brek Kecemasan Automatik dan Sistem Amaran Titik Buta mungkin antara sistem keselamatan aktif yang bakal ditawarkan pada X50 nanti menjadikan crossover dari jenama lain akan ketinggalan zaman. Siapa yang lambat pasti akan ketinggalan. Jika perkara ini berlaku, kami dapat rasakan X50 pasti akan mendapat rebutan dan sambutan yang menggalakkan.

Besar harapan kami agar model ini dijadikan sebagai unit CKD secepat mungkin dan lebih banyak komponen tempatan dihasilkan agar model ini terus menyokong ekosistem industri automotif tempatan. Apa pendapat anda berkenaan crossover terbaru yang bakal dilancarkan oleh Proton nanti? Berapakah harga yang anda sanggup bayar untuk X50 ini? Nyatakan pendapat anda di ruangan komen laman FB Mekanika.

Google ads
Back to top button