Artikel PilihanBuletin

PROTON X70 – 4 SPESIFIKASI. 2WD / 4WD DAN BUMBUNG PANORAMIK

“Ini baru pendedahan awal, ibarat sarapan pagi,” kata CEO Proton, Dr Li Chunrong berseloroh, ketika ditanya pihak media tentang perincian model X70 yang dipertontonkan pagi tadi.

Ternyata Proton masih belum bersedia untuk “melepaskan” spesifikasi, harga dan varian yang akan ditawarkan kepada pasaran Malaysia. Malah dalam sesi pagi tadi juga, pihak media tidak dibenarkan membawa sebarang alat rakaman, telefon bimbit juga dilarang.

Terdapat dua model yang dipamerkan tadi. Kedua-duanya kelihatan identikal kecuali beberapa berubahan pada bahagian dalaman.

Satu daripadanya menggunakan balutan kulit nappa berwarna coklat cerah (bersama bumbung panoramik) dan satu lagi model biasa dengan bumbung tanpa panoramik dan kerusi berbalut kulit hitam.

Ini adalah model premium yang datang dengan bumbung panoramik dan kulit nappa

Kami berjaya mendapatkan maklumat awal dari sumber yang boleh dipercayai bahawa Proton akan menawarkan EMPAT model asas.

Namun belum dapat dipastikan sama ada varian ini akan menggunakan nama kelas seperti yang digunakan pada model-model Proton sebelum ini yang dikenali sebagai Standard, Eksekutif dan Premium.

X70 akan didatangkan dengan empat model utama yang menampilkan pilihan terbaik untuk pengguna. Ia terdiri daripada:

  • Standard 2WD
  • Medium (Eksekutif) 2WD
  • Medium (Eksekutif) 4WD
  • Premium (Model spesifikasi penuh) 2WD

Apa yang menarik perhatian kami ialah kehadiran model AWD/4WD dalam senarai. Namun yang lebih mengejutkan ialah model ini bukan daripada model spesifikasi penuh/Premium. Sebaliknya ia daripada varian pertengahan atau mungkin disebut Eksekutif.

Tidak dapat dipastikan mengapa, namun kami percaya, bahagian pemasaran Proton sudah melakukan kajian dan keputusan mendapati model spec tinggi tidak memerlukan 4WD sebagai ciri utama.

Kombinasi ciri lain seperti arahan suara (voice command) mungkin lebih dititikberatkan oleh pembeli berbanding sistem pacuan.

Aneh?

Tidak. Dan kami juga percaya, Proton “meniru” strategi pemasaran Honda pada model CR-V.

Untuk pengetahuan anda, Honda CR-V didatangkan dengan empat varian iaitu 2.0l (2WD) 1.5TC (turbo 2WD) 1.5TC (Turbo 4WD) dan 1.5TC-P (Premium 2WD).

Ya. Honda CR-V paling mahal tidak dilengkapi sistem 4WD tetapi masih 2WD, tetapi didatangkan dengan ciri Honda Sensing dan tailgate kawalan elektrik.

KEMASAN TERBAIK

Ini mungkin kereta Proton yang paling bermutu pernah kami lihat. Ternyata, bekerjasama dengan Geely adalah satu tindakan yang sangat tepat, demi memastikan Proton mendapat produk yang betul.

Walaupun mungkin ada yang skeptikal dengan produk dari China, namun apabila kami melihat sendiri dan membelek dari dekat kemasan, pemilihan material, kualiti pemasangan, ternyata ia lebih baik dari produk Proton sendiri.

BACA: PROTON X70 KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

Malah Tidak keterlaluan dikatakan jika dibandingkan dengan jenama mainstream dari Jepun pun, X70 ini tidak kalah dari segi kualiti.

Selain daripada kualiti bahan dan pemasangan, X70 juga didatangkan dengan pelbagai ciri menarik. Antaranya;

  • Kawalan cuise adaptive
  • Kemasan kecil seperti suis, handle pintu, papan pemuka, panel-panel plastik, jahitan kulit nappa dan sambungan kimpalan yang terdedah juga lebih kemas buatannya dari sesetengah jenama popular CKD tempatan.
  • Panel meter LED digital sepenuhnya.
  • Ia ada corong penghawa dingin belakang dan juga pembersih udara (ionizer)
  • Ada ENAM. ya enam port USB di lokasi yang strategik.
  • Otlet soket 12v di bahagian bagasi belakang.
  • Lantai belakang rata (tiada bonggol di tengah)
  • Suspensi belakang jenis multi link.
  • Enjin yang ditutup penuh (seperti kemasan kereta Eropah)
  • Kerusi kawalan elektrik (pada model Eksekutif dan Premium. Model standard tidak diketahui)
  • Enjin berkuasa 180hp dan 285Nm tork!
  • Tonneau cover belakang yang boleh dibuka dan dilaras di lantai menjadi “partition” atau berfungsi seperti “cargo net”
  • RIm 18 inci dengan tayar 225/60R18

Jadi bagaimana?

Sebelum dilancarkan secara rasmi, Proton akan mempamerkan X70 di bandar-bandar terpilih bermula 19 September hingga 4 November depan.

Nantikan kehadirannnya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuantan, Ipoh, Kota Kinabalu dan Kuching, Sarawak.

GALERI

 

 

Google ads
Back to top button