Buletin

PT DIRGANTARA INDONESIA JUAL 25 PESAWAT N219 KEPADA CHINA

PT Dirgantara Indonesia (PTDI) menandatangani perjanjian untuk menjual 25 pesawat N219 dengan Linkfield Technologies di The Aero Asia 2023 di Zhuhai International Airshow Center China.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah Perdagangan, Teknologi & Pembangunan PTDI, Moh. Arif Faisal dan Pengarah Linkfield Technologies, Patrick Goh.

“Adalah satu perkara luar biasa untuk PTDI dapat bekerjasama dengan Linkfield Technologies dan bersetuju dengan rancangan untuk menjual 25 unit N219 dalam pasaran eksport, di mana ia akan meningkatkan kekuatan serta kehadiran produk kami di pasaran China,” kata Moh. Arif Faisal.

Pesawat N219 yang dimaksudkan untuk pasaran eksport mempunyai konfigurasi disesuaikan dengan keperluan pembeli.

Daripada 25 unit yang dipasarkan, 5 pesawat N219 telah ditempah oleh Bandung Airlines Co. Ltd. syarikat penerbangan di China, manakala 20 unit ditempah oleh syarikat pemajakan di China.

“N219 adalah pesawat direka dan dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera Indonesia dan saya pasti kita semua berbangga untuk mengatakan bahawa acara ini menandakan peristiwa penting bagi N219 memasuki pasaran global,” tambah Arif.

Sebelum ini, PTDI dan Linkfield Technologies bersetuju dengan kerjasama pada 19 Oktober 2023.

Dalam kerjasama ini, Linkfield Technologies akan bertindak sebagai penjual semula untuk pemasaran dan penjualan pesawat pengeluaran PTDI bagi keperluan ketenteraan dan komersial di wilayah China.

Pengarah Linkfield Technologies, Patrick Goh berkata The Aero Asia 2023 merupakan peluang untuk mempamerkan pelbagai produk pesawat buatan Indonesia.

Menurutnya, ,embangunan pesawat N219 oleh PTDI dianggap strategik.

“Sejak 50 tahun kebelakangan ini semua orang cuba membina pesawat besar untuk laluan dari bandar besar dan antarabangsa, tetapi mereka lupa bahawa kita masih mempunyai masalah ketersambungan untuk orang yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Mempunyai pesawat seperti N219, ia boleh meningkatkan pembangunan ekonomi di kawasan luar bandar,” kata Patrick Goh.

Google ads
Back to top button