INDIA MAHU BELI 26 PESAWAT TEMPUR RAFALE DARI PERANCIS
India akan membeli 26 pesawat tempur Rafale untuk tentera laut dan tiga lagi kapal selam Scorpene dari Perancis.
Cadangan itu diluluskan pada mesyuarat Majlis Pemerolehan Pertahanan (DAC) yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan Rajnath Singh, kata Kementerian Pertahanan.
Pengumuman itu dibuat ketika Perdana Menteri Narendra Modi memulakan lawatan dua hari ke Paris pada Khamis.
India akan mendapatkan 26 pesawat Rafale Marine bersama dengan peralatan tambahan, senjata, simulator, alat ganti, dokumentasi, latihan kru dan sokongan logistik untuk Tentera Laut India dalam perjanjian antara kerajaan dengan Perancis.
“Perolehan kapal selam tambahan, dengan kandungan asli yang lebih tinggi, bukan sahaja akan membantu dalam mengekalkan tahap kekuatan yang diperlukan dan kesediaan operasi Tentera Laut India, tetapi juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan dalam sektor domestik.
“Ia juga akan membantu MDL dalam meningkatkan lagi keupayaan dan kepakaran dalam pembinaan kapal selam,” kata kementerian itu.
Tentera Laut India sudah memiliki enam kapal selam diesel kelas Scorpene yang dibina di bawah perjanjian US$2.3 bilion yang ditandatangani pada 2005.
Tentera Udara India mengendalikan Rafale buatan Dassault Aviation, yang dibeli dalam perjanjian US$8.7 bilion pada 2016 untuk 36 jet dan persenjataan berkaitan. – Sinar Harian