Buletin

PUSAT 3S HONDA KINI DIBUKA DI SKUDAI, JOHOR – MAMPU SERVIS 100 KENDERAAN SEHARI

Khusus untuk pelanggan Honda di kawasan Skudai dan sekitar, Honda Malaysia telah membuka pusat 3S (Jualan, Servis, Alat ganti) baharu di Taman Mutiara Rini yang dimiiliki oleh Wang Loo Motor (JB) Sdn. Bhd. (Wang Loo Motor).  

Pembukaan cawangan terbaru itu menjadikan Honda Malaysia mempunyai 17 pengedar dan empat pusat 4S (Jualan, Servis, Alat ganti, Pembaikan badan dan Cat) di kawasan Selatan dengan 10 pengedar dan tiga pusat 4S di Johor.

Selatan adalah kawasan yang penting buat Honda Malaysia. Pada setengah tahun pertama 2017, jualan keseluruhan adalah lebih dari 10,500 unit di mana 70 peratus dari Johor bersamaan lebih dari 7,300 unit. Kawasan Selatan juga menyumbang 20 peratus dari 52,527 jualan yang dicapai oleh Honda Malaysia.

Selain itu, jualan di kawasan Selatan telah meningkat sebanyak 30 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pusat 3S terbaru ini berharga RM22 juta dengan keluasan binaan 73,979 kaki persegi. Ia mempunyai 18 ruang servis termasuk tiga servis pantas dan 13 pembaikan umum yang mampu menampung 100 kenderaan sehari. Kapasiti tahunan ialah sehingga 26,000 kenderaan.

Untuk keselesaan, ia dilengkapi ruang pelanggan dan ruang eksekutif dengan kemudahan minuman panas dan snek yang boleh didapati dari kaunter kafe. Kemudahan lain ialah sambungan Wi-Fi, servis mencuci kereta, sudut kanak-kanak dan Surau.

Wang Loo Motor mempunyai pengalaman luas dalam bidang khidmat selepas jualan memandangkan syarikat itu sudah mengendalikan dua pusat 3S Honda dan memenangi Anugerah CEO Honda dua kali berturut-turut iaitu pada 2015 dan 2016.

Pusat 3S terbaru ini terletak di No.1, Jalan Jaya 1, Taman Mutiara Rini, 81300, Skudai, Johor Darul Takzim. Untuk temujanji, sila hubungi 07-555 0033.

Google ads
Back to top button