Buletin

RASMI: HONDA CIVIC TYPE R DILANCARKAN – 2.0 LITER TURBO, 316HP

Setelah bermain-main dengan imej, foto intipan, spesifikasi dan pelbagai khabar angin termasuklah penggunaan transmisi CVT, Honda melancarkan Type R terbarunya di Pameran Motor Geneva yang sedang berlangsung bermula hari ini. Ia model yang paling ditunggu oleh peminat kereta sport pacuan hadapan seluruh dunia.

Seperti yang diwar-warkan sebelum ini, CIvic Type R ini dibina berdasarkan platform Civic terbaru (FC) dengan penambahbaikan menyeluruh menggunakan kerangka hatchback empat pintu. Honda UK diberi tanggungjawab membangunakan model ini dan sepertimana model terdahulu (FK2), rekaan empat pintu dipilih sebagai produksi akhir.

Mungkin ramai yang sangka Type-R akan dibina semula berdasarkan DNA EK9 dan EP3 dan itulah yang sepatutnya dibuat memandangkan lencana Type-R hanya digunakan pada Civic sahaja. Tiada lagi Integra, namun jika ia adalah pasaran global, janganlah harap sangat ia dibuat mengikut selera produksi JDM (Japan Domestic Model).

Type-R baru ini menggunakan enjin sama dengan FK2, 2.0 liter dengan indusksi pendesak turbo yang mampu menghasilkan 316 kuasa kuda dan 295 paun tork. Ia 10 kuasa kuda lebih tinggi berbanding model terdahulu dan transmisi masih menggunakan set manual enam kelajuan dengan ratio yang dipertingkatkan.

Kerangka baru ini telah diperkukuhkan sebanyak 38 peratus lebih jitu. Set suspensi juga telah dipertingkatkan untuk pengendalian yang lebih sporty dan apa yang lebih menarik, ia kini sudah dilengkapi dengan peralatan elektronik.

Type-R baru ini dilengkapi dengan mod pemanduan berbeza yang mempunyai penetapan talaan pada suspensi, rak stereng, penukaran gear, dan respon pendikit. Satu lagi tambahan yang dibuat ialah mod Comfort – satu evolusi baru kerana kalau anda naik kereta FD2R dan duduk di belakang boleh bergetar hempedu, dia punya suspensi memang keras.

Buat pertama kalinya, Civic Type-R baru ini akan menjadi model global. Ia akan dijual di seluruh dunia bukan seperti model sebelum ini (JDM dan RHD UK sahaja). Jadi, ia adalah berita baik, bila masuk USA nanti akan berbondong-bondonglah peralatan aftermarket yang dibuat nanti.

Tak pasti samada model ini akan masuk Malaysia atau tidak. Kalau masuk pun harganya DIJAMIN meninggal dunia. Anda tidak boleh harap dapat beli pada harga FD2R (RM199K) kerana kalau tengok pada harga FK2R pun, versi recond (2015) pun dah cecah RM300K.

Jadi. Bertabahlah…

BACA: HONDA CIVIC TYPE-R PAKAI CVT?

BACA: CIVIC FK2R BLACK EDITION – 100 UNIT SAHAJA

 

 

Google ads
Back to top button