
REMAJA TUNGGANG YAMAHA LC MELAMBUNG SAMPAI KE BUMBUNG DILANGGAR HONDA CIVIC
Seorang remaja melambung sampai ke bumbung sebuah bengkel kereta selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Pak Badol, Bachok, Kelantan semalam. Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, melambung pada ketinggian lebih tiga meter apabila motosikal ditunggang bertembung sebuah Honda Civic.
Pemilik bengkel, Abdul Sukri Mohamad, 59, berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki kereta sebelum terdengar dentuman kuat dan melihat sebuah kereta serta motosikal terbabas di pagar rumahnya.
Ketika memeriksa kedua kenderaan itu, penduduk kampung hanya menemui pemandu kereta, namun tidak menemui penunggang motosikal yang hancur.
“Kami tercari-cari pemandu motosikal di sekitar kawasan kemalangan namun hairan kerana tidak menemui mangsa.
“Beberapa minit kemudian, barulah ada bunyi orang bergerak atas bumbung. Barulah saya menyedari mangsa kemalangan berada atas bumbung bengkel saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan.
Berikutan ketinggian bumbung, penduduk menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan bomba untuk menurunkan mangsa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba Yus Heary Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.32 pagi. Seramai tujuh anggota bersama 11 anggota daripada agensi penyelamat lain seperti polis, APM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terbabit dalam tugas menyelamat.
“Kami mengambil masa 10 minit menggunakan tiga unit tangga, satu unit pengusung dan tali pengikat untuk menurunkan mangsa yang cedera,” katanya. Mangsa dilaporkan mengalami patah paha kiri dan tangan kiri.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kemalangan berlaku apabila Honda Civic dipandu lelaki berusia 36 tahun dari Melor cuba memotong Perodua Kancil, tetapi bertembung dengan motosikal arah bertentangan.
Kemalangan itu turut membongkar kegiatan jenayah apabila polis menemui dadah jenis heroin seberat tiga gram dan 102 biji pil kuda di dalam kereta berkenaan. Rampasan membabitkan nilaian RM3,020 dan pemandu terbabit ditahan polis.
Ujian air kencing turut mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah.
Hari ini, suspek dikenakan tahanan reman sehingga Sabtu ini. Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Fauzan Mohd. Suhairi di Mahkamah Majistret Bachok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala kes dadah disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952. – Harian Metro