Motosikal

DAINESE LANCAR JAKET PINTAR – HARGA RM3,000 SEHELAI

Dainese baru-baru ini melancarkan jaket pintar (Smart Jacket) yang terdiri daripada sehelai vest beg udara D-air baharu. 

Apa yang menarik ialah vest itu boleh dipakai di bawah atau di luar jaket, dilipat seperti baju biasa dan mudah disimpan. Ia juga tidak memerlukan apa-apa penyambungan dengan motosikal. 

Teknologi D-air telah dibangunkan lebih 25 tahun dan digunakan oleh para pelumba MotoGP. Kini, ia boleh dipakai oleh orang ramai.

Boleh didapati untuk penunggang lelaki dan wanita, Smart Jacket memberikan perlindungan impak secara statik buat pertama kalinya. 

‘Otak’ di sebalik Smart Jacket ialah algoritma picunya. Unit elektronik pusat berupaya menganalisa data 1,000 kali sesaat yang disalurkan oleh tujuh unit pengesan. Apabila situasi bahaya dikesan, sistem itu hanya akan diaktifkan jika perlu. 

Selepas penyelidikan selama dua dekad dan jutaan data dikumpul, satu algoritma yang sangat sofistikated berjaya dicipta dengan keupayaan meramal kemalangan, termasuklah pelanggaran kenderaan yang tidak bergerak. 

Perlindungan Smart Jacket ditawarkan oleh The Shield, teknologi beg udara yang memiliki struktur mikrofilamen di dalamnya.

Ia memberi jaminan gelembungan yang sekata dan terkawal, sekali gus membina satu lapisan perlindungan kepada badan pemakainya. 

The Shield berfungsi memberi perlindungan pada bahagian dada dan belakang badan, sama seperti pelindung belakang Level 1 biarpun tidak mempunyai sebarang kepingan material keras di dalamnya. 

Smart Jacket juga menawarkan aspek ventilasi yang memastikan pemakai kekal selesa dan tidak panas. Bukan itu sahaja, materialnya yang kalis air membolehkan ia dipakai sewaktu hujan tanpa merosakkan teknologi D-air.

Pelanggan boleh menukar beg udara di pengedar sah Dainese. Baterinya pula mampu bertahan sehingga 26 jam dan  menawarkan pengecasan semula yang pantas. 

Smart Jacket didatangkan dalam enam saiz dan dijual pada harga bermula £569.95 (RM3,000) sehelai. 

Google ads
Back to top button