Buletin

COVID-19: UDARA MAKIN BAIK AKIBAT KURANG KESESAKAN

Sekarang ini kita boleh saksikan impak Covid-19 kepada kehidupan manusia dan ekonomi. Banyak yang terjejas namun ada perkara bertambah baik.

Pada bulan Februari, NASA dan Agensi Angkasa Eropah mendapati penurunan ketara nitrogen dioksida (NO2) di China semasa tempoh kuarantin.

Saintis NASA mengatakan bahawa terdapat bukti perubahan tersebut adalah kesan langsung daripada penurunan aktiviti ekonomi susulan wabak Covid-19.

NO2 kebanyakannya dihasilkan daripada pencemaran kereta dan industri berat.

Penyelidik kualiti udara NASA di Pusat Penerbangan Udara Goddard, Fei Liu berkata ini adalah kali pertama beliau menyaksikan penurunan ketara di satu kawasan yang luas disebabkan satu peristiwa khusus.

Walaupun pencemaran udara kerap turun semasa sambutan Tahun Baru Cina, kejadian kali ini menyaksikan kadar NO2 tidak meningkat kembali.

Menurut Liu lagi kadar penurunan tahun ini lebih signifikan berbanding tahun lalu dan tahan lebih lama. Beliau tidak terkejut memandangkan banyak buah bandar di China telah mengambil langkah bagi mengekang penularan virus.

Bagaimanapun, data terbaru yang diperolehi dari satelit Copernicus Sentinel-5P milik Agensi Angkasa Eropah mengesan peningkatan pada awal Mac selepas China mula mengurangkan ‘lockdown’.

Di peringkat global, TomTom yang menawarkan khidmat navigasi mendapati kurangnya kesesakan jalan raya terutama sekali di kawasan bandar susulan tindakan ‘lockdown’.

Laporan Traffic Index TomTom meliputi 416 bandar di 57 buah negara dan enam benua dengan membuat ranking kesesakan bandar di serata dunia dan akses percuma untuk maklumat dari bandar ke bandar.

Laporan dari TomTom menunjukkan bandar-bandar besar Eropah yang dilanda wabak Covid-19 mengalami penurunan kesesakan berbanding purata tempoh lain pada tahun ini.

Berikut adalah kadar kesesakan dan impak yang dicerap:

  • Milan: Tujuh peratus, turun 13 peratus
  • London: 17 peratus, turun 18 peratus
  • Paris: Empat peratus, turun 28 peratus
  • Wuhan: Tiga peratus, turun 20 peratus

Secara umumnya, kesesakan jalan raya dunia telah meningkat sejak sedekad lalu. 239 bandar (57 peratus) dalam senarai laporan Traffic Index TomTom menunjukkan peningkatan dari tahun 2018 dan 2019.

Hanya 63 bandar menunjukkan penurunan.

Menurut TomTom lagi besar kemungkinan krisis yang dihadapi sekarang tidak akan menamatkan senario kesesakan di bandar-bandar besar namun ia akan membawa kepada pemikiran semula bagaimana kita melakukan aktiviti harian.

Google ads
Back to top button