Buletin

APA BEZA PENGENDALIAN IMPREZA STI SPORT 2020?

Di negara kita jenama Subaru disuburkan melalui crossover XV yang mendapat sambutan baik di kalangan pengguna massa. Ia satu yang bagus buat Subaru pada masa Impreza sinonim di kalangan peminat model berprestasi dan dunia rali.

Impreza tidak berkisar mengenai enjin turbo berkuasa tinggi memandangkan ia turut ditawarkan dengan nadi aspirasi normal di pasaran antarabangsa pada generasi terdahulu lagi.

Subaru dengan nadi turbo sebenarnya telah dialihkan kepada WRX dan wagon Levorg.

Impreza yang berada di pasaran sekarang adalah dari generasi kelima (GK) dan diperkenalkan pada tahun 2016. Tiada versi wagon dan Impreza ditawarkan dalam gaya badan sedan dan hatchback.

Lama di pasaran Subaru mengumumkan penawaran Impreza yang dipertingkatkan pada 17 September 2020 di Jepun. Ada beberapa pembaharuan yang dibuat seperti teknologi e-BOXER (hibrid) dan Impreza STI Sport.

Jadi apa beza pada Subaru Impreza STI Sport?

Seperti yang dikongsikan, untuk menikmati pemanduan turbo dan wagon pengguna perlu mendapatkan Levorg dengan enjin 1.8 liter. 

Subaru bagaimana pun tidak melupakan legasi Impreza dan memperkenalkan Impreza STI Sport.

Menggunakan nama STI bermakna ia mempunyai keistimewaan tersendiri dan model hatchback ini difokuskan pada bahagian pengendalian.

Impreza menggunakan badan yang tegar atau Subaru Global Platform sebagai rangka dan strukturnya.

Satu dari ciri kerangka tersebut ialah menghantar tenaga atau daya kereta kepada tayar depan dan belakang dengan lebih pantas dan tepat.

Selain mempunyai respon stereng yang bagus dan pemanduan stabil, kerangka tersebut juga direka untuk menyerap getaran dari permukaan jalan seterusnya menyumbang kepada keselesaan pemanduan.

Impreza STI Sport dilengkapi suspensi yang baru dibangunkan pada bahagian depan.

Suspensi tersebut menggunakan teknologi Sensitive Frequency Response Damper atau SFRD ® dari Showa. 

Ia berfungsi dengan melaras daya redaman (damping) mengikut kadar atau frekuensi getaran dari permukaan jalan (frekuensi rendah/frekuensi tinggi).

Pada selekoh, bahagian luar akan ditekan atau dipegang dengan kuat dan bahagian dalam direnggangkan dengan lancar atau lembut dan tayar ‘menangkap’ permukaan jalan secara fleksibel bagi menstabilkan postur kereta.

Selain itu, ayunan atau olengan kiri dan kanan apabila stereng dipulas dengan pantas diberi respon dan turut memberikan kestabilan apabila penukaran laluan dibuat secara tiba-tiba dan menyediakan rasa selamat ibarat kereta melekat pada permukaan jalan.

Bahagian suspensi belakang turut diberi perhatian dengan penalaan bagi memperbaiki tahap respon dan pengawalan.

Secara ringkasnya, apabila stereng diputar kereta akan bertindak balas dengan cepat, badan kereta stabil dan melekat atau mencengkam di atas permukaan jalan raya.

Di Jepun, Impreza ditawarkan dalam sejumlah varian seperti 1.6iL EyeSight, 1.6iS EyeSight, 2.0iL EyeSight, 2.0eL EyeSight, Advance dan STI Sport.

Memang janggal sebenarnya apabila Impreza hadir tanpa skup bonet dan gaya badan wagon.

Sedikit sebanyak Impreza STI Sport ini memberi peringatan mengenai kehebatan Impreza dengan nadi turbo dan pacuan empat roda satu ketika dahulu.

BACA: SUBARU LEVORG 2020, WAGON + TURBO = KERETA IDAMAN!

BACA: PADA 2002 SUBARU IMPREZA TYPE EURO DIPERKENAL, DIREKA BERSAMA PORSCHE DESIGN

BACA: SUBARU UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA ENJIN LEGENDA EJ20

Foto: Subaru

Google ads
Back to top button