
SUBARU IMPREZA WRC 2000 RICHARD BURNS INI BERNILAI LEBIH RM3 JUTA!
Ramai yang mengatakan pemilikan kereta ialah satu liabiliti dan harganya akan susut hari demi hari. Tapi kena ingat bukan semua kereta akan menerima nasib yang sama. Ada yang akan terus meningkat nilainya cuma masalahnya harga semakin jauh dari jangkauan kita warga marhain ni.

Terbaru sebuah jentera rali pencen yang pernah digunakan oleh Richard Burns, lagenda WRC dan kawan rapat juara rali Mentakab 8 kali telah berjaya dilelong dengan harga melebihi RM3.5 juta!
Impreza WRC yang digunakan oleh Richard Burns dan Robert Reid ini diperolehi oleh seorang pengumpul yang tidak dikenali sebaik sahaja ia menamatkan perlumbaan Network Q Rally GB tahun 2000 sekaligus mengekalkan originalitinya.

Ia berada dalam tangan pengumpul terbabit selama hampir 3 tahun dan menjalani proses restorasi untuk memastikan semua sistem mekanikalnya berfungsi sebaik mungkin. Ia juga pernah digunakan untuk demonstrasi dalam banyak acara permotoran untuk menunjukkan potensinya kepada peminat.
Sejarah perlumbaan kereta bersejarah dengan casis nombor 11 ini memang mempunyai dokumentasi lengkap. Ia merupakan model homologasi yang menggunakan enjin yang seakan sama dengan model jalanan biasa kerana peraturan kelas perlumbaan tahun 2000 yang membenarkan kuasa enjin sekitar 300 hp. Alah, lebih kurang kuasa Alza vtectec Abang Japar la.
Ini bukan Subaru pertama yang berjaya dilelong dengan harga melebihi 6 angka tetapi inilah harga tertinggi yang pernah dicapai untuk sebuah Impreza WRC. Eh, Proton tak nak cuba lelong ke Evo PERT yang pernah digunakan oleh Karamjit Singh tu? Boleh la kami cuba nasib untuk membidanya nanti.


