RS MOTORHOMES ENVOY – GAYA HIDUP AKTIF YANG MEWAH
Gaya hidup ber-motorhomes sememangnya amat digemari di seluruh pelusuk dunia. Mengembara dari satu ke tempat ke satu tempat lain bersama ahli keluarga. Kata orang bonding time. Jenis KWSP berkoyan, memilih motorhome bersaiz PPRT bukanlah satu masalah yang besar.
BACA : CAMPERVAN KEICAR – APA LAGI, JOM PERGI JEPUN!
BACA : ANDA SUKA MOTORHOME? CAM CARAVAN KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN
Malah di UK sendiri, RS Motorhomes boleh dianggap sebagai pembuat motorhome yang cukup handal. Syarikat yang diasaskan oleh Mick Rowe 35 tahun yang lalu telah pun membina lima buah motorhome sebelum ini. Jelas, ini sememangnya kepakaran mereka.
Dan kali ini RS Motorhomes bakal memperkenalkan motorhome terbaharu mereka, Envoy sewaktu acara The Confused.com London Motor Show. Model terbaharu ini dibina berdasarkan chasis Mercedes-Benz Atego, sebuah trak ringan yang mempunyai pelbagai keupayaan.
Envoy ini dibina tanpa berkompromi langsung dari segi sudut keselesaan dan ketelitian rekaannya. Mampu memuatkan sehingga 8 orang, sudah tentulah ianya kelebihan yang nyata buat Envoy ini untuk dimiliki. Jenis yang suka travel nak usung sama MIL, FIL, SIL, BIL, & GIL pun tak ada masalah langsung.
Sementara si ayah sedang memandu sambil menggunakan auto cruise, ahli keluarga yang lain melepak santai di ruang tamu sambil melayan DVD Avengers. Duduk pula sofa yang dibaluti kulit sebenar. Selesa bukan main lagi.
Manakala si emak pula pasti boleh bersilat di dapur dengan selesa. Saiz ruang dapurnya tak jauh beza langsung dengan dapur PPRT Brader Karrager. Kabinet untuk menyimpan bekalan bahan dan perkakasan pun tersedia lebih daripada mencukupi.
Ruang meja makan pula boleh menampung sehingga enam orang. Lagi dua orang tu boleh bersila aja di lantai jika mahu. Tapi kalau ikut resmi motorhome / campervan, makan malam biasanya lepak di luar sambil menikmati angin malam dan ditemani unggun api. Baru feel orang kata.
Jika terdapat sebarang urusan kecemasan, penumpang tidak perlu khuatir untuk mencari hentian R&R. Tandas yang tersedia tak serupa tandas kapal terbang. Tak perlu bimbang pintu tandas terkepak sewaktu melepaskan hajat besar. Bekalan tangki air keseluruhannya melebihi 500 liter tidak termasuk tangki simpanan. Jadi tak perlu standby batu untuk beristinjak.
Bagi menggerakkan motorhome bersaiz gergasi ini, enjin 7.7 liter dengan kuasa 300hp memadai untuk mengelakkan si ayah memandu sambil berdiri sepanjang perjalanan. Mujur juga enjin diesel. Boleh nangis woo kalau kerap singgah petrol pam nak mengisi tangki 125 liter si Envoy ini.
Sesungguhnya, pembinaan Envoy ini barangkali boleh dianggap antara motorhome terbaik yang pernah dihasilkan. Dan disebabkan itu, harganya barangkali tidak begitu lembut, £285,000 atau duit kita lebih kurang RM1,539,099.00.
Tapi kau kerja & tinggal di UK, apa ada hal kan?