OPEL ZAFIRA-E CROSSCAMP FLEX – MOTORHOME EV DENGAN JARAK GERAK 322 KM
Di Eropah, terdapat banyak pilihan model motorhome baharu yang ditawarkan secara rasmi untuk golongan yang mahu menjalani hidup nomad.
Salah satu daripadanya adalah Crosscamp Flex yang menggunakan asas daripada Opel Zafira-e Life yang muncul di Caravan Salon 2022 di Jerman, baru-baru ini.
Motorhome Crosscamp Flex ini dikuasakan oleh pek bateri 75 kWh yang membenarkan jarak operasi sejauh 322 km, dengan sokongan pengecasan DC 100 kW di mana pek bateri boleh dicas sehingga 80 peratus dalam tempoh 48 minit sahaja.
Selain itu, terdapat juga bateri tambahan 95 Ah yang boleh digunakan untuk tujuan pencahayaan, dan menguasakan perkakasan elektrik seperti peti sejuk.
Sebagai sebuah motorhome, ia turut dilengkapi dengan kemudahan seperti khemah bumbung boleh lipat yang mampu memuatkan dua orang, tempat duduk belakang yang boleh ditukarkan menjadi katil, ruang dapur lengkapi dengan penunu gas dan sinki, serta kerusi baris depan yang boleh dipusingkan 180 darjah.
Ciri keselamatan standard termasuklah amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan, amaran tumpuan pemandu, bantuan pengekalan lorong, pengecaman papan tanda trafik dan kawalan jelajah semi-adaptif.