Buletin

RUSIA JANGKA UNTUNG BESAR TAHUN INI, CATAT JUALAN MINYAK DAN GAS RM3.5 BILION SEHARI

Rusia mendakwa bahawa ia menjangkakan keuntungan eksport minyak dan gas melonjak pada tahun ini berikutan kenaikan harga komoditi berkenaan. 

“Berdasarkan kepada tahap harga sekarang hasil daripada polisi negara Barat, kami tidak mengalami sebarang kerugian. Sebaliknya, keuntungan eksport sumber tenaga kami akan naik secara signifikan pada tahun ini,” kata Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov. 

Rusia kini dikenakan sekatan ekonomi selepas menyerang Ukraine. Namun, Moscow dilapor masih mampu mencatat perolehan sebanyak AS$800 juta (RM3.5 bilion) sehari. Kenaikan harga minyak dan gas boleh memberikan Rusia jualan sehingga AS$285 bilion (RM1.25 trilion) tahun ini. Ia merupakan 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2021. 

Regim pimpinan Vladimir Putin dilihat terus bertahan dengan tindakan menyerang Ukraine ketika harga minyak dunia naik sekitar 50 peratus tahun ini. Komoditi itu juga diniagakan pada harga paling tinggi dalam tempoh 13 tahun berikutan kekurangan bekalan akibat perang dan pemulihan dunia daripada pandemik Covid-19. 

Pada 30 Mei lalu, Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk menghentikan 90 peratus imprt minyak Rusia ke dalam blok itu menjelang akhir tahun 2022. Namun, beberapa buah negara EU seperti Jerman masih bergantung kepada gas Rusia. 

India dan China pula dilihat terus membeli minyak Rusia pada harga diskaun, sekali gus melanggar sekatan antarabangsa.

“Secara umumnya, minyak tiada kaitan dengan politik kerana ia sentiasa ada permintaan. Kami mempunyai pasaran alternatif dan jualan pun kian meningkat,” kata Lavrov. 

Google ads
Back to top button