Buletin

PEMANDU MYVI LANGGAR AVANZA DIPERCAYAI POSITIF DADAH

Seorang pemandu kereta Myvi yang dikatakan hilang kawalan dan terlibat dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 243.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan di sini semalam dipercayai positif dadah. Kejadian itu turut tular di media sosial dan mendapat kecaman hebat warganet.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pada pukul 10.40 pagi itu dipercayai berlaku ketika sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah Seremban menuju ke selatan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Toyota Avanza yang dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang berada di hadapannya ketika itu.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan Toyota Avanza turut hilang kawalan sehingga berpusing beberapa kali serta terbabas ke lorong kiri lalu melanggar dua lagi kenderaan iaitu Proton Saga dipandu wanita berusia 40 tahun dan Proton Persona yang dipandu lelaki berusia 35 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nanda, pelanggaran pertama yang berlaku di antara Perodua Myvi dan Toyota Avanza menyebabkan tayar belakang kiri MPV itu tercabut. Tayar itu kemudian terpelanting masuk ke laluan arah bertentangan dan terkena sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu lelaki berusia 32 tahun.

Pemandu Myvi berusia 28 tahun itu dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah sebelum berlaku kemalangan. Urin lelaki itu telah diambil dan didapati positif dadah dan siasatan lanjut masih dijalankan. Kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59.

Semalam tular video yang memaparkan sekumpulan lelaki bermotosikal merakam keadaan pemandu Myvi tersebut yang dilihat kurang waras yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan mengucap kalimah syahadah.

Selain itu, turut ditemukan perkakas dipercayai untuk menghisap dadah dalam kereta lelaki itu. – Utusan Online

Google ads
Back to top button