EU SEKAT KAPAL TANGKI BAWA MINYAK MENTAH DARI RUSIA, ANTARA PUNCA PERMINTAAN KAPAL TANGKI HARAM MENINGKAT
Kesatuan Eropah telah mengharamkan semua minyak mentah yang diimport dari Rusia melalui laut mulai 5 Disember, dan diikuti dengan larangan import bahan api pada Februari.
Ia juga melarang syarikat dan individu dalam Kesatuan Eropah daripada menyediakan perkhidmatan pembiayaan, pembrokeran, perkapalan serta insurans untuk menghantar minyak Rusia ke tempat lain jika minyak mentah itu dibeli melebihi had harga AS$60 (RM264) setong.
Rusia telah menghabiskan beberapa bulan terakhir dengan menyediakan lebih 100 kapal tangki untuk mengangkut minyaknya kepada pembeli yang bersedia, terutamanya dari India, China termasuk Asia Tenggara.
Kini, kapal berbendera EU tidak lagi dibenarkan membawa minyak mentah Rusia. Antara langkah proaktif lain dilakukan EU adalah kapal yang tidak diinsuranskan, tidak dibenarkan berlabuh di kebanyakan pelabuhan sama ada di dalam atau di luar EU, termasuk India dan China.
Jika kapal tangki berbendera bukan EU ditangkap membawa minyak mentah Rusia, EU akan menahan insurans dan perkhidmatan maritim lain daripada mereka selama 90 hari.
Walau sekatan ini diadakan begitu ketat, tetapi ada seribu satu cara untuk menyeludup minyak dari Rusia. Windward, firma penyelidikan perkapalan, menganalisis pergerakan kapal pada bulan Ogos untuk mengesan bagaimana kapal tangki menyeludup minyak dari Rusia.
Penganalisisnya mendapati kapal tangki meninggalkan pelabuhan Rusia dalam pelayaran tanpa tujuan serta tidak masuk akal, misalnya ke pertengahan Atlantik Utara, kawasan laut yang tenang di luar bidang kuasa EU.
Kemudiannya, kapal tangki tersebut akan mematikan peranti pengesan, sebelum kembali ke pelabuhan setelah kondisi kembali aman. Perjalanan tanpa destinasi pelabuhan menunjukkan ia berlaku dengan pemindahan kapal ke kapal di tengah lautan, di luar pandangan pihak berkuasa kawal selia.
Beberapa kapal tangki telah mematikan pemancar AIS mereka, sistem pengenalan automatik yang digunakan di seluruh industri. Cara ini boleh membantu mengaburkan jejak aktiviti mereka.
Bahkan, ada kapal tangki lain melakukan pelayaran yang panjang di sekitar Cape of Good Hope, Afrika Selatan, kemudiannya melalui pusat pemeriksaan di Gibraltar atau Suez Canal.
Oleh itu, masih terdapat begitu banyak kapal tangki simpanan hanya terapung untuk menunggu atau menerima minyak dari satu kapal ke satu kapal, kemudian hanyut di Atlantik selama sebulan atau dua, menunggu minyak itu diambil oleh kapal ketiga.
Dengan kadar kapal tangki melonjak sehingga empat kali ganda daripada kadar sebelum perang, syarikat yang mengendalikan kapal tangki di pasaran gelap boleh memperoleh sehingga AS$350,000 (RM1.54 juta) sehari.
Larangan terhad selama 90 hari daripada insurans maritim EU sebagai penalti jika ditangkap, digabungkan dengan ganjaran kewangan yang kukuh, bermakna rangkaian penyeludupan sedia ada akan berterusan untuk menghantar minyak mentah Rusia ke negara lain.
Menurut International Energy Agency (IEA), pada 2021, Rusia mengeluarkan 4.7 juta tong sehari minyak mentah. Maka dengan itu, Rusia sentiasa memastikan bahawa mereka mempunyai lebih 200 kapal tangki untuk membawa keluar minyak mentah kepada negara yang bersedia membeli.
Tanpa kapal yang mencukupi, Rusia akan menghadapi masalah kewangan negara yang teruk kerana berdasarkan analisis IEA, pada 2021, minyak dan gas menyumbang 45 peratus daripada belanjawan Rusia.
- BACA: KELIRU WARNA PAM MINYAK – LELAKI TAK SENGAJA ISI DIESEL DALAM MCLAREN F1 GTR
- BACA: KAPAL LAYAR TANGKI DIESEL BAHARU DARI CHINA, MAMPU BAWA DUA JUTA TONG MINYAK, MILIKI SISTEM AEROFOIL SAILS INTELLIGENT CONTROL
- BACA: KERETA TERKENA MINYAK, SUKE SEDIA TANGGUNG KOS CUCI DAN GILAP
- BACA: INDONESIA PERTIMBANG BELI MINYAK DARI RUSIA, PERTAMINA KAJI RISIKO