Artikel Pilihan

SAYANGNYA, RIWAYAT SEBUAH TOYOTA SUPRA A70 BERAKHIR SEBEGINI TRAGIS

Sejak Toyota menghentikan produksi Supra pada tahun 2002, ramai sekali peminatnya yang bersedih hati. Biarpun generasi baru Supra dilapor sedang dalam proses pembikinan, namun ia pasti tidak dapat mengatasi aura Supra yang asal. 

Sampai sekarang, peminat Supra di seluruh dunia akan mengumpul, mengubah suai dan berlumba dengan jentera lagenda tersebut. Supra seperti tidak pernah hilang peminat, malah mungkin pemujanya bertambah ramai saban hari.

Jadi, apabila seorang peminat tegar kereta Jepun menjumpai sebuah Supra tersadai di sebuah kaki bukit, ramai tertanya-tanya apa sebenarnya yang telah berlaku.

Melalui video bertajuk “Found a crashed Supra in the mountains in Japan”, Alexi Smith dilihat menjejaki sebuah Supra A70 yang terbiar di lokasi yang enggan didedahkan selama berpuluh-puluh tahun lamanya.

BACA: TOYOTA SUPRA FAST & FURIOUS DILELONG RM753,000!

Untuk makluman, Alexi ialah seorang warga Australia yang berpindah ke Jepun pada tahun 2008 untuk menghasilkan video drift.  Dia merupakan seorang drifter dan blogger (Noriyaro) terkenal di sana. Fasih berbahasa Jepun, Alexi juga menjadi penulis sambilan kepada blog terkenal, Speedhunters.

Supra A79 ialah Supra generasi ketiga yang dihasilkan di antara tahun 1986 hingga 1993. Walaupun agak mustahil untuk meneka tahun tepat produksi kereta tersebut, tetapi berdasarkan kepada rim, lampu dan pemegang tali pinggang keledar hadapan, ia mungkin model keluaran tahun 1989 atau 1990.

Dapat dilihat dengan jelas bahawa separuh badannya dilitupi oleh daun dan tanah. Cermin belakangnya sudah pecah dan pintu pemandunya terbuka. Biarpun begitu, badannya tidak menampakkan kerosakan yang teruk. Malah tayar belakangnya masih ada.

Menjengah ke dalam kabin, stereng dan tempat duduk pemandu telah hilang. Kereta itu mempunyai roll-cage, jadi memang ia dijadikan jentera lumba sewaktu hayatnya. Melihat kepada video itu, persoalan demi persoalan timbul.

Antaranya, siapakah pemiliknya? Bagaimana ia boleh berada di situ? Apakah enjin yang digunakan? Adakah pemandunya selamat dalam kemalangan itu? dan sebagainya…

Kita biasa melihat kereta yang lagi teruk kondisinya daripada Supra ini diselamatkan menerusi proses restomod. Tetapi, memandangkan lokasinya yang jauh terperuk di dalam hutan, harapan itu mungkin sangat tipis.

Dengan penemuan itu, tidak mustahil banyak lagi jentera Toyota, Honda, Nissan atau Mazda atau Mitsubishi mengalami nasib sama di lereng-lerng bukit dan gunung di seluruh Jepun. Maklumlah, minat budak-budak muda (dan tua) di Jepun layan drift dan tauge di laluan berbukit boleh tahan juga…

Google ads
Back to top button