Buletin

HONDA LANCAR MOBILIO FACELIFT KE PASARAN THAILAND 

Honda Automobile (Thailand) Co., Ltd. (Honda Thailand) baru-baru ini melancarkan model facelift Honda Mobilio yang tampil dengan ruang kabin lebih maju dan rekaan luaran mewah. 

MPV itu tampil segar dengan gril hadapan, lampu utama LED yang sporty, rim aloi bersaiz 15 inci, kabin luas dan konsol tengah rekaan baru. Bukan itu sahaja, ciri-ciri seperti meter nyalaan sendiri, paparan multi informasi (MID), sistem pendingin hawa automatik, kunci pintar, butang penghidup enjin dan skrin sentuh audio bersaiz 6.1 inci pasti dapat memenuhi keperluan setiap penggunanya.

Mobilio dibina untuk menyokong penggunaan yang pelbagai. Jadi, ia hadir dalam varian tujuh dan lima tempat duduk. Tempat duduknya boleh dan mudah dilipat dalam pelbagai konfigurasi itu dapat memaksimumkan ruang kargo.

“Honda membawa konsep kenderaan pelbagai guna ke tahap seterusnya dengan Mobilio baharu. Direka untuk mereka yang mahukan sebuah kenderaan praktikal dan bergaya, Mobilio sememangnya telah menetapkan standard lebih tinggi dari segi keselesaan dan kemewahannya,” kata Ketua Pegawai Operasi Honda Thailand, Pitak Pruittisarikorn.

Jentera itu digerakkan oleh enjin empat silinder SOHC 1.5L i-VTEC. Mampu menghasilkan kuasa 117hp pada 6,000rpm dan tork 146Nm, ia dipadankan dengan kotak gear CVT.

Senarai sistem keselamatan pada Mobilio juga komprehensif. Antaranya termasuklah kerangka G-CON, dua beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA), brek ABS, Electronic Brake Distribution (EBD) dan kamera undur.

Bagi memberi pilihan lebih sporty kepada pengguna, varian RS dipasang dengan aksesori lengkap RS. Ia merangkumi gril hadapan hitam, lampu utama jenis reflektor rekaan baru dengan LED, lampu kabus, bampar sports depan belakang, kemasan sisi, spoiler belakang dengan brek LED, rim aloi bersaiz 15 serta emblem RS pada gril hadapan dan belakang.

Mobilio didatangkan dalam tiga varian iaitu S (lima tempat duduk), V dan RS dengan tujuh tempat duduk. Harganya ialah 659,000 baht (RM82,500) untuk varian S, 699,000 baht (RM87,500) bagi varian V dan 763,000 baht (RM95,500), varian RS.

Terdapat lima warna menarik untuk dipilih iaitu oren (baru), putih mutiara, hitam, perak dan putih.

Google ads
Back to top button