Artikel Pilihan

TOYOTA VIOS 2023 TIADA CIRI KUSYEN BELAKANG BOLEH DILIPAT 60:40? INI SEBABNYA

Pada pertengahan bulan Mac 2023, penulis telah berpeluang untuk mengikuti sesi pandu uji khas untuk media bagi Toyota Vios 2023 yang serba baru. Sama seperti model sebelum ini, Toyota Vios 2023 akan dikuasakan dengan menggunakan enjin 4 silinder 1500cc dual VVTi yang menjana sehingga`104 kuasa kuda dan 138Nm tork

Tapi Vios 2023 didatangkan dengan platform serba baru Daihatsu New Global Architecture dimana antara pembaharuan yang lebih baik diterima termasuklah pengendalian yang lebih jitu dan juga keselesaan penumpang.

Ketika sesi taklimat bersama dengan Ketua Jurutera Pembangunan Vios, Mr. Hideyuki Kamino, penulis telah meneliti beberapa perubahan fizikal terhadap platform Vios 2023 ini. Antara ciri yang paling ketara termasuklah penggunaan 2 keping pendakap cesi (braces) yang dipasang di belakang penyandar kusyen belakang.

Braces ini akan menyebabkan Toyota Vios 2023 kehilangan satu ciri penting tapi amat jarang sekali digunakan iaitu ciri kusyen belakang boleh dilipat secara ratio 60:40. Penulis pernah menggunakan ciri ini bagi membawa balik perabot daripada Ikea.

Penulis juga telah mengintai dengan lebih teliti termasuklah menyemak dari bahagian belakang di ruang kargo dan mendapati braces ini benar-benar wujud. Menurut Mr. Hideyuki Kamino, walaupun ciri kusyen belakang boleh dilipat dengan ratio 60:40 ini berguna tapi sebenarnya ia amat jarang sekali digunakan oleh pengguna

Ciri ini kemudian diketepikan oleh pasukan pembangunan Toyota Vios 2023 bagi mengukuhkan ketegaran cesi di bahagian belakang. Hasilnya Toyota Vios 2023 ini menawarkan kawalan cesi yang lebih bagus. Sebagai contoh bahagian belakang Toyota Vios 2023 ini memberikan reaksi cesi yang lebih pantas sebaik sahaja input stering diberikan samaada ke kiri atau ke kanan.

Ya anda boleh tersenyum riang di laluan berselekoh dan tidak menyangkakan Toyota Vios yang terkenal dengan sifat sampanya satu ketika dulu boleh menawarkan pengalaman yang mengujakan. Penulis juga mendapatkan maklumat tambahan daripada Mr. Ivan Khong yang bertindak sebagai Instruktor Pemanduan kami dan juga Pengurus Program sepanjang pandu uji dijalankan

Menurut Mr. Ivan Khong, braces yang dipasang oleh Toyota menawarkan ciri yang hampir sama seperti bar anti oleng yang dipasang pada struktur tosion beam. Diameter bar anti oleng, samaada dihasilkan daripada besi padu atau besi hollow akan mempengaruhi dinamik pengandalian.

Jika terlalu keras maka sesebuah kenderaan akan mudah oversteer. Untuk pengetahun pembaca, bar anti oleng turut dipasang di struktur torsion beam dan juga di struktur McPherson di roda depan. Malah Toyota juga menambah kelebaran tayar yang digunakan daripada 195mm (model lama) kepada 205mm bagi model baru

Pemilihan tayar baru ini menawarkan contact patch yang lebih lebar sekaligus memberikan cengkaman yang lebih bagus walaupun hanya menggunakan tayar premium biasa yang dikhaskan untuk keselesaan. Penulis masih lagi terkejut kerana dengan beberapa perubahan kecil yang dibuat, Toyota Vios 2023 mampu meluncur laju di selekoh (long corner) dengan yakin sekali.

Antara kelebihan lain apabila ciri kusyen belakang yang boleh dilipat secara 60:40 ini tidak ditawarkan termasuklah pengurangan berat komponen sebanyak 10kg. Secara tidak langsung ia akan menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik berbanding versi sebelumnya iaitu sekitar 19.23km per liter biarpun menggunakan rim bersaiz 17 inci

Jadi jangan kecewa jika Toyota Vios 2023 tidak lagi menawarkan ciri kusyen belakang yang boleh dilipat 60:40 kerana ia dikorbankan bagi menghasilkan kualiti pengendalian yang lebih baik dan juga penjimatan bahan api yang dipertingkatkan.

Google ads
Back to top button