SEMBILAN SJR DI LALUAN KRITIKAL LEBUHRAYA PLUS
Sebanyak sembilan sekatan jalan raya diadakan pihak berkuasa di beberapa laluan kritikal di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa semalam sehingga 27 Oktober ini.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan berkata sekatan jalan raya itu bagi mengelakkan orang ramai yang tidak mempunyai kebenaran, melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri melibatkan kawasan PKPB.
“Laluan kritikal di lebuhraya PLUS iaitu Plaza Tol Jalan Duta, Setia Alam, Shah Alam, Putra Mahkota, Sungai Buaya, Bukit Tagar, Bukit Beruntung, Lembah Beringin dan Seafield,” katanya.
PLUS menasihatkan orang ramai supaya terus kekal berada di rumah bagi mengawal penularan wabak Covid-19 bertepatan dengan semangat #KitaJagaKita, yang membolehkan petugas barisan hadapan menjalankan tugas mereka dengan selamat.