Buletin

COVID-19: PLUS RUGI HAMPIR RM400 JUTA SEPANJANG TEMPOH 3 BULAN PKP

Plus Malaysia Berhad (PLUS) mengalami kerugian kira-kira RM400 juta dalam tempoh tiga bulan bermula Mac berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu berkurangan sebanyak 90 peratus, daripada 1.7 juta kenderaan sehari kepada 170,000 kenderaan sehari dalam tempoh tersebut.

“Hasil kita jatuh sebanyak 90 peratus iaitu pada Mac, April dan Mei, bagaimanapun, ia kembali meningkat bermula 6 Jun selepas kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri.

“(Namun), RM400 juta tidak boleh diperoleh semula dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada syarikat dan pekerja,” katanya pada program Bual Eksekutif: Leadership In Steering The Organisation Across Turbulent Time Towards Recovery From Covid-19 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Beliau berkata jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya PLUS kini meningkat kepada 1.5 juta sehari dan dijangka terus meningkat jika kerajaan membuka sepenuhnya pintu sempadan Malaysia-Singapura pada masa akan datang.

Katanya pengurusan PLUS membuat banyak keputusan penting untuk mengelak impak yang besar kepada pengoperasian PLUS dan kebajikan pekerja. 

“Apa pun saya tidak akan memotong gaji pekerja dan akan memastikan kira-kira 3,800 orang dapat terus bekerja dalam situasi getir ini,” katanya. – Bernama

Google ads
"
"
Back to top button