Buletin

MATA SAYA KECIL, BUKAN TIDUR! PEMANDU CHINA GERAM SISTEM DMS KERAP BAGI AMARAN

Ini mungkin kedengaran agak pelik, tetapi ia menjadi salah satu perbincangan yang paling hangat di China.

Seorang penulis blog di China, DerekTLM dikatakan mengadu bahawa sistem pemanduan pintar kereta XPeng miliknya selalu menyangka dia tertidur semasa pemanduan. Dalam catatan yang dibuatnya di platform microblogging China, Weibo penulis blog itu memberitahu dia sering menerima amaran daripada sistem pemantauan kereta itu kerana matanya yang kecil.

“Biar saya ulang, mata saya kecil, tetapi saya tidak tertidur semasa memandu.Adakah orang yang bermata kecil tidak layak menggunakan Navigation Guided Pilot?” soalnya.

Pemandu yang terkilan itu memetik Pengerusi XPeng, He Xiaopeng dalam catatan Weibonya sambil menuntut sistem itu dinaik taraf. Dia juga mendakwa sistem itu memotong ‘points’ daripadanya kerana terganggu atau tertidur ketika memandu.

Dalam perkembangan berkaitan, ChangYanCY, seorang penulis blog terkenal dengan lebih 1.2 juta pengikut di Weibo turut menceritakan pengalaman pahitnya dengan sistem monitor pemandu.

Dia mendakwa matanya terlalu kecil sehingga monitor pemandu di kebanyakan kereta sering tersalah anggap bahawa dia sedang tidur. Dia juga menyuarakan kebimbangan saiz matanya mungkin menghalangnya daripada menggunakan fungsi sistem bantuan pemandu yang canggih.

Driver Monitoring System (DMS) berfungsi mengukur kewaspadaan pemandu. Ia merupakan salah satu ciri penting yang ada dalam sistem pemanduan kereta autonomi dan membantu memastikan pemandu sentiasa berwaspada dengan mengesan tanda-tanda awal mengantuk. XPeng Motors mempunyai pakej bantuan yang dikenali sebagai Navigation Guided Pilot (NGP).

Pada tahun 2021, lebih 543,000 kereta penumpang di China dipasang dengan DMS. Ini peningkatan sebanyak 228.87 peratus berbanding apa yang telah dicapai pada tahun 2020.

Walaupun ia membantu mengurangkan kemalangan dan membantu pemandu sentiasa berwaspada, sesetengah pemilik kereta telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap privasi mereka.

Google ads
Back to top button