BAJAJ DAN KTM MAHU HASILKAN MOTOSIKAL ELEKTRIK MEWAH
Kerjasama di antara KTM dan Bajaj telah bermula sejak tahun 2007 lagi. Sepanjang 15 tahun itu, kedua-dua rakan kongsi tersebut telah berkolaborasi dalam banyak model, daripada Pulsar ke Duke hinggalah rangkaian model 490 KTM yang cukup diminati.
Terbaharu, usahasama itu akan melibatkan penghasilan satu platform motosikal elektrik yang dikongsi oleh kedua-dua syarikat. Sehingga kini, KTM dan Bajaj hanya memberi fokus kepada e-skuter dan mobiliti bandar, tetapi model elektrik mewah masih belum ada.
Pada awal tahun 2022, Pierer mengakui minat pihaknya untuk menghasilkan jentera elektrik. “Kami membayangkan jentera berkuasa elektrik 48 volt sehingga kelas A1 dengan 11 kilowatts atau 15hp akan menjadi motosikal elektrik kami dalam tempoh 10 tahun akan datang, terutama untuk pasaran Eropah.
“Semua enjin dua lejang akan hilang. Segala yang berkaitan dengan kenderaan dua roda menuju ke arah elektrifikasi. Terdapat rancangan yang jelas di antara pengeluar motosikal.
Nampaknya, rancangan tersebut telah berubah apabila Pengarah Eksekutif Bajaj Auto, Rakesh Sharma mendedahkan rancangan kerjasama mereka dalam taklimat media mengenai perolehan suku pertama 2022.
“Kami sudah berbincang dengan KTM dan sedang bekerjasama untuk membangunkan motosikal elektrik mewah,” dedah Sharma.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pesaing KTM mula menunjukkan motosikal elektrik masing-masing. Antaranya Ducati yang mempamerkan jentera lumba MotoE V21L pada Jun 2022. Manakala Triumph mempersembahkan prototaip TE-1 pada Julai 2022.
Walaupun KTM pada awalnya kurang ambil peduli tentang pasaran motosikal elektrik terutama apabila ia hanya melibatkan jenama Harley-Davidson, Zero dan Energica, nampaknya pendekatan itu berubah apabila jenama Eropah yang lebih senior menyertai persaingan itu.
Sharma kemudian menambah bahawa projek motosikal elektrik sudah tentu ada dalam radar Bajaj dan KTM. Ia dilihat diumum pada masa yang tepat.