
Artikel Pilihan
SESI PERSEKOLAHAN 2023/24 BAKAL BERMULA. INI YANG PERLU DILAKUKAN OLEH IBU BAPA DEMI KEMASLAHATAN UMMAH
Sesi persekolahan bagi 2023/24 bakal bermula pada minggu hadapan menandakan cuti akhir penggal bakal tamat setelah bercuti lebih kurang satu bulan lamanya. Buat yang punya anak untuk memasuki Darjah 1, dia punya teruja pasti lain macam. Suka untuk BK berkongsi apa yang patut dan perlu dilakukan bagi menghadapinya kelak.
- Malam sebelum bermulanya sesi persekolahan, silalah pastikan anak – anak tidur seawal mungkin. Ini bagi memastikan mereka memperolehi lena yang mencukupi dan tidak meragam untuk bangun pagi bersiap.
- Mungkin seawal jam 6.00 pagi adalah waktu yang cukup ideal untuk mengejutkan anak bangun dari tidur. Peel ‘kejap lagi’ atau ‘limat minit lagi’ mungkin turunnya dari perangai kita sendiri sebagai ibu bapa yang kerap bagi alasan lima minit lagi tersebut. Maka, anda mungkin perlu bersiap sedia untuk mengalaminya.
- Sementara anak bersiap itu, cubalah sediakan sedikit juadah buat alas perut buat anak – anak. Dibimbangi kelaparan sementara untuk menunggu waktu rehat jam 10.00 pagi.
- Setelah bersiap, cubalah untuk keluar awal dari rumah terutamanya yang tinggal di perjiranan PPRT serupa BK ini. Nak tunggu lif aja entah berapa lama masa terbuang. Penuh sokmo.
- Dan untuk yang tinggal di level kondo, masalah untuk keluar dari parkir bertingkat juga mungkin menjadi isu akibat daripada banyaknya jumlah kenderaan yang ingin keluar serentak ke jalan utama.
- Setelah memandu memasuki jalan utama, pandulah dengan berhati – hati. Jangan terlampau leka sibuk nak up IG story perihal nak hantar anak sekolah. Fokus terlebih dahulu kepada pemanduan. Selain daripada jumlah kenderaan yang pastinya akan lebih banyak, perhatikan juga mereka yang berjalan kaki menghantar anak ke sekolah.

- Apabila menghampiri kawasan sekolah, pastikan tahap pemanduan ditingkatkan sehingga 150%. Kebarangkalian ada anak – anak kecil yang melintas tak tentu hala cukup tinggi di kala itu.
- Setelah berhenti untuk menghantar anak ke sekolah, sila pastikan ianya adalah jenis ‘stop n go’. Usah buang masa berhenti dengan ketika itulah segala manifesto dan nasihat ke sekolah hendak diungkapkan. Jangan dibazirkan masa orang lain yang sedang menanti di belakang. Masa itu mungkin bukan emas. Tapi percayalah, masa itu adalah titanium.
- Tak payah juga nak berdiri di tepi pagar sekolah sambil terintai – intia di manakah anak anda yang sedang memakai beg Smiggle. Memang takkan nampak. Jadi, baliklah. Tak perlu nak tunggu. Ini bukannya tahun 90an. Anak – anak dah semakin pintar. Anak tak nangis, mak bapak pula yang berjejer air mata.
- Kalau nak tunggu juga, sila pastikan kenderaan diparkir dengan senonoh dan elok. Jangan nak terkeluar sana sini sampai mengganggu lalu lintas.
- Yang penting ingat, apa pun tindakan kita jangan sampai menyusahkan orang lain.
- Buat anak – anak, selamat kembali ke sekolah! Belajar pandai pandai.
BACA : SEKOLAH AKAN DIBUKA, TETAPI BAS SEKOLAH TIDAK DAPAT SAMBUTAN
BACA : PERANGAI MAK BAPAK HANTAR ANAK KE SEKOLAH YANG TAK SEPATUTNYA BERLAKU