Buletin

SILAP TENGOK GOOGLE MAPS, SAMPAI RUMAH PENGANTIN PEREMPUAN LAIN

Gara-gara tersilap menggunakan navigasi Google Maps, seorang pengantin lelaki bersama rombongannya pergi ke di rumah pengantin wanita lain hingga menimbulkan kekecohan.

Memetik laporan Tribunnews, pengantin wanita dikenali sebagai Ulfa, 27, memberitahu pada awalnya dia tidak menyedari ketibaan pengantin lelaki dan rombongan terbabit kerana sedang bersolek.

Keluarganya juga tidak kenal sangat ahli keluarga pengantin lelaki. Tetapi keluarga mengalu-alukan kehadiran mereka dan acara pertukaran hantaran juga sudah diadakan.

“Bagaimanapun, salah seorang daripada rombongan itu secara tiba-tiba menyedari mereka tersilap rumah pengantin lalu bergegas keluar. Mereka dikatakan tersilap mengikut Google Maps dan memohon maaf,” katanya.

Menurut Ulfa, tunang dan rombongannya belum tiba kerana berhenti mencari bilik air.

“Saya terkejut dan bingung kerana tidak mengenali sesiapa pun daripada ahli rombongan berkenaan. Saudara ada bertanyakan kepada mereka, siapa calon pengantin wanita dan ternyata bukan saya. Rombongan itu dari Pemalang sementara tunang saya dari Kendal.

“Akibat tersilap rumah, saudara saya membantu dan menghantarkan rombongan itu ke rumah pengantin wanita yang betul dengan jarak tidak jauh dari kampung ini.

“Kebetulan pada hari kejadian iaitu Ahad, dua majlis perkahwinan berlangsung dan boleh menimbulkan kekeliruan,” kata Ulfa.

Sebelum ini, rakaman video dimuat naik di Instagram @makassar_iinfo tular hingga mendapat perhatian warganet.

Video ditonton lebih 218,000 tontonan memaparkan suasana yang agak kelam-kabut, tetapi disulami ketawa dari tetamu dan keluarga pengantin wanita gara-gara tersilap rumah pengantin. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button