Buletin

SPRM SITA HELIKOPTER PERSENDIRIAN, PORSCHE, MUSTANG, MCLAREN DAN KAPAL MEWAH MILIK KETUA SINDIKET TENDER KERAJAAN

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah menyita kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta serta pelbagai jenis hartanah seperti banglo, rumah kedai dan pejabat berjumlah RM29 milik ketua sindiket kartel tender kerajaan. 

Antara kenderaan yang disita termasuklah dua buah helikopter peribadi, sebuah Porsche, Range Rover, McLaren, Ferrari, Ford Mustang, Mercedes-Benz, camper van, kapal mewah dan banyak lagi. 

SPRM turut membekukan 644 akaun individu dan syarikat dianggarkan bernilai RM100 juta untuk tujuan siasatan. Dalam serbuan sama, wang tunai sebanyak RM3.5 juta ditemui di rumah ahli perniagaan bergelar datuk berusia 47 tahun itu. 

Kartel berkenaan didakwa telah membolot projek kerajaan menerusi tender sebut harga bernilai RM3.8 bilion. Sudah beroperasi sejak tujuh tahun lalu, ketua sindiket itu dikatakan menunjukkan kekayaan serta kemewahan yang luar biasa. 

Modus operandi kumpulan kartel projek ini ialah membuka lebih 150 buah syarikat. Setiap individu yang nama mereka digunakan sebagai pengarah syarikat akan dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan.

“Syarikat ini milik beliau dan dipercayai 114 orang telah digunakan nama mereka untuk membuka lebih 150 buah syarikat,” jelas SPRM. 

Semua syarikat berkenaan dipercayai digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender serta sebut harga di kementerian dan agensi kerajaan.

Manakala maklumat tender dan sebut harga termasuk spesifikasi projek serta harga siling projek akan disalurkan oleh individu dalam kementerian atau agensi,” katanya.

Hasil siasatan SPRM mendapati hampir semua maklumat syarikat berkaitan menggunakan maklumat palsu. Ia melibatkan kelayakan akademi, sijil profesional atau penyata kewangan untuk meyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan syarikat untuk melaksanakan projek.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM turut memberkas seorang pegawai kanan sebuah agensi kerana didakwa telah menerima rasuah berjumlah RM1.2 juta. 

Lelaki berusia 38 tahun  yang bekerja sebagai juru ukur bahan gred 48 dipercayai terlibat dalam kerja-kerja penyediaan ‘bill of quatity’ (BQ) bagi projek-projek yang ditawarkan agensi terbabit. Dia didakwa membocorkan maklumat mengenai spesifikasi projek kepada ketua sindiket untuk memudahkan penyediaan dokumen tender.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang mengesahkan tangkapan itu menyatakan lebih ramai akan ditahan berhubung kes ini. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button