Buletin

3 CIRI MENARIK YANG ANDA BOLEH CUBA DALAM GOOGLE MAPS

Google Maps merupakan antara aplikasi navigasi pilihan di dunia. Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak mengetahui ia didatangkan dengan ciri-ciri menarik membolehkan pengguna menikmati kemudahan teknologi itu.

Antara ciri menarik yang boleh digunakan menggunakan platform desktop mahupun secara mudah alih ialah mengembara ke bandar diinginkan (fly over any city), simpan lokasi parkir  (save parking location) dan melihat aliran trafik pada waktu tertentu (see traffic at certain hours).

Mengembara ke bandar diinginkan (fly over any city)

Pertama sekali, anda berpeluang mengembara ke mana-mana bandar dengan menggunakan Google Maps berasaskan penyemak imbas (browser).

Secara asasnya, mod ini memberi anda pandangan udara dari kawasan tertentu dan menggunakan model bangunan tiga dimensi (3D) yang dibangunkan Google.

Bagi mereka yang ingin menggunakan ciri ini, ia sangat mudah, anda hanya perlu membuka Google Maps. Apabila sudah melancarkan paparan satelit tekan klik pada ikon 3D di bahagian kanan skrin.

Anda boleh menggunakan Ctrl + dan menggerakkan tetikus mengikut destinasi pilihan.  

Simpan lokasi parkir  (save parking location)

Ini merupakan ciri sangat menarik kerana ada masa kita terlupa di mana lokasi meletakkan kenderaan terutama di pasar raya.

Salah satu cara mudah menyimpan lokasi parkir kereta anda adalah dengan mebuka Google Maps, klik pada titik biru yang menunjukkan lokasi anda dan tetapkan sebagai lokasi tempat letak kereta.

Melihat aliran trafik pada waktu tertentu (see traffic at certain hours)

Google Maps juga dapat membantu anda mengelak aliran trafik sesak. Ia sangat berguna apabila merancang perjalanan.

Bukan sahaja Google Maps memaparkan lalu lintas di bandar atau negeri berdasarkan masa nyata tetapi boleh mengetahui pada hari dan waktu berbeza.

Anda perlu membuka Google Maps di desktop terlebih dahulu dan aktifkan maklumat lalu lintas dari menu.

Gunakan bar di bahagian skrin tukar lalu lintas secara lansung kepada lalu lintas biasa.

Pilih waktu dan hari yang anda inginkan untuk melihat aliran trafik. – agensi.

Google ads
Back to top button