Artikel Pilihan

PENYUDAH YANG BURUK UNTUK PEMANDU EVO X SINGAPURA

Kereta-kereta seperti Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza STI wujud dengan satu tujuan sahaja, iaitu memberikan keseronokan pemanduan dan membuatkan mereka teruja setiap kali menekan pedal minyak. Keduanya memang berbeza berbanding BMW M3 contohnya yang masih agak selesa jika dipandu dengan perlahan.

EVO X adalah lebih agresif dan sebenarnya tidaklah selesa sangat jika dipandu dengan perlahan apatah lagi bila dipandu sekitar bandaraya yang penuh dengan lampu isyarat. Tapi sebaik pedal minyaknya di tekan di lebuh raya, ia memang berfungsi seperti tonik untuk membuatkan pemandunya tersengih sepanjang jalan. Tapi kalau tidak berhati-hati memang bala yang menanti.

Bala yang dimaksudkan tadi memang telah menimpa seorang pemandu EVO X yang agak kurang sabar sewaktu memandu di Mandai Road, Singapura baru-baru ini. Jentera replika perlumbaan Mitsubishi itu dilihat mengekori rapat sebuah kenderaan lain yang dilengkapi dengan dua kamera perakam sebelum mula melakukan aksi mencucuk belakang. Biasalah tu kan? Angin bawa EVO ni memang lain macam kalau iman tak kuat.

Beberapa ketika kemudian, EVO X tersebut dilihat memotong kereta terbabit dari sebelah kiri sebelum masuk semula ke lorong kanan di hadapan kenderaan perakam. Pemandu EVO tersebut malangnya tidak menyedari sebuah kereta lain yang berwarna perak juga memasuki laluan terbabit di hadapan beliau. Rasanya jenis lepas memotong terus tengok cermin pandang belakang untuk melihat reaksi pemandu kereta yang dipotong.

Sebaik menyedari laluan di hadapan terhalang, pemandu tersebut menekan brek kecemasan dan disitulah tercetusnya bala buat beliau.

EVO X tersebut mula meluncur ke kiri jalan dan menghentam sebuah lori kecil dan kemudian bergerak ke kanan jalan kembali dan melanggar pula pembahagi jalan. Jelas sekali ia bukannya reaksi daripada seorang pemandu yang berpengalaman.

Agak pelik juga kenapa tayar EVO X tersebut seperti terkunci dan mengakibatkan ia tergelongsor ke kiri dan kanan. Sepatutnya sistem ABS mampu mengatasi asal tersebut dengan lebih baik. Atau mungkinkah pemandu EVO terbabit menarik brek tangan akibat panik? Siapa tahu kan?

Tags
Google ads
Back to top button