Artikel Pilihan

SISTEM EKZOS – FAHAMI DAN JANGAN UBAHSUAI SESUKA HATI

Perkara pertama yang menjadi mangsa naik taraf kenderaan biasanya tayar dan rim sebelum diikuti dengan sistem ekzos. Tidak semestinya menukar seratus peratus komponen asal kepada komponen aftermarket. Ia bergantung kepada keperluan anda sendiri.

Modifikasi ekzos sebenarnya cukup penting kerana jika diubahsuai dengan cara yang betul, anda akan berjaya membebaskan lagi potensi kereta anda berbanding sebelumnya.

BACA: PENYELENGGGARAAN BATERI KERETA

Sebaliknya jika dilakukan dengan cara yang salah, potensi yang sedia ada akan hilang dan diganti dengan masalah-masalah lain.

Di sini kami akan jelaskan dengan ringkas tentang sistem ekzos dan kelebihan menggunakan komponen ekzos aftermarket.

KENAPA PERLU MEMILIH KOMPONEN AFTERMARKET?

Sistem ekzos standard kenderaan telah direka untuk merendahkan bunyi semaksima mungkin. Ini kerana setiap kereta baru mesti mematuhi piawaian kawalan mutu yang cukup ketat.

Ia juga bermakna menghadkan keluaran gas ekzos dari bahagian enjin sekaligus mewujudkan tekanan yang biasa dipanggil tekanan-balikan (backpressure) dalam sistem ekzos.

Walaupun enjin memang memerlukan sebahagian backpressure untuk beroperasi dengan lancar, tetapi jika tidak dilaras dengan sempurna ia juga akan mengurangkan potensi enjin.

BACA: BILA MASANYA TUKAR PLUG?

Dengan kata lain, enjin kereta anda terpaksa menggunakan sebahagian kuasa untuk memaksa gas ekzos keluar dari paip ekzos. Sedangkan kuasa tersebut sepatutnya digunakan untuk menggerakkan kereta.

Jika mahu menggantikan kuasa yang hilang itu, anda boleh menggantikan sistem ekzos asal dengan sistem ekzos aftermarket yang menggunakan komponen yang mampu melancarkan keluaran gas ekzos.

Berikut merupakan komponen –komponen yang biasanya terdapat pada sistem ekzos kenderaan.

MANIFOLD/HEADERS

Komponen pertama yang perlu dilalui gas ekzos bila keluar dari kebuk pembakaran.

Manifold aftermarket biasanya dibengkokkan dengan menggunakan teknik lenturan mandrel (mandrel bend) untuk memastikan aliran yang lancar dalam paip ekzos tanpa halangan seperti kesan kimpalan yang biasanya terdapat pada komponen standard.

Ia akan mengurangkan backpressure dan mempercepatkan keluaran gas ekzos untuk membantu pecutan.

Panjang dan pendek manifold dibuat berdasarkan keperluan begitu juga dengan kofigurasinya seperti 4-2-1 dan 4 kepada 1.

DOWNPIPE

Bahagian paip dari manifold sehinggalah ke peredam bunyi ataupun muffler. Biasanya sebelum sampai ke peredam bunyi ia akan melalui komponen yang dipanggil pengubah pemangkin (catalytic converter).

Kereta-kereta lama atau klasik biasanya tidak mempunyai pengubah pemangkin.

PENGUBAH PEMANGKIN/ CATALYTIC CONVERTER/ CAT

Jika kenderaan anda bukan dari kategori klasik atau lama, ia biasanya dilengkapkan dengan komponen ini. Berbeza dengan muffler yang berfungsi mengurangkan bunyi yang dihasilkan, pengubah pemangkin ini berfungsi untuk mengurangkan keluaran gas beracun dari sistem ekzos.

Dengan kata lain ia bukan hanya bertindak sebagai penapis tetapi lebih maju lagi kerana ia mampu menukar gas beracun yang dihasilkan oleh enjin anda kepada nitrogen, karbon dioksida, oksigen dan air sebelum melepaskannya keluar.

Kenapa setiap kereta mesti dipasang dengan alat ini?

Kerana ia termaksub dalam undang-undang yang mewajibkan ia dipasang pada setiap kereta moden. Ia juga untuk memastikan alam sekitar kita lebih terpelihara.

MUFFLER/PEREDAM BUNYI

Bahagian yang paling mudah dilihat pada sistem ekzos. Tugas sebenarnya ialah untuk mengurangkan bunyi yang terhasil dari paip ekzos.

Ia dihasilkan dengan pelbagai bentuk untuk kegunaan yang berbeza-beza. Secara asasnya bahagian dalaman muffler mempunyai paip yang dibengkokkan berdasarkan keperluan, tabung, silinder berjaring dan bahan penyerap bunyi.

Ia juga menghasilkan bunyi yang pelbagai berdasarkan rekaan pengeluar. Secara idealnya, muffler aftermarket akan menghasilkan  bunyi yang lebih “berkuasa” tanpa menghasilkan backpressure yang terlalu banyak sehingga menjejaskan kuasa enjin.

TAILPIPE

Bahagian terakhir sistem ekzos yang jelas dilihat dari belakang. Kebanyakan diberi kemasan dan bentuk yang menarik yang boleh anda pilih. Ia boleh dibeli secara berasingan dan ditukar jika anda sudah bosan dengan bentuk yang sedia ada.

Semua komponen ini akan memberikan kesan yang berbeza bila ditukar tetapi seperti kami katakan tadi ia bergantung kepada keperluan (dan juga bajet).

Dapatkan pandangan daripada mekanik yang mahir dengan sistem ekzos. Tidak semestinya ekzos seperti serombong kapal dan menghasilkan bunyi yang menggetarkan sukma itu power.

Kadang-kadang bunyi je power, pecutannya ke laut.

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button