SISTEM TREM ART HIDROGEN TIBA DI KUCHING, BAKAL BEROPERASI PADA 2025
Transit Aliran Autonomi (ART) hidrogen yang dihantar dari China telah pun tiba di Kuching dan dijangka beroperasi secara komersial pada 2025.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, ART bakal menjalani proses pandu uji di Isthmus terlebih dahulu.
“Kita akan mengujinya terlebih dahulu di sana (Isthmus) untuk memastikan ia cekap, kemudian kita meneruskan pandu uji tersebut melalui laluan Kuching-Samarahan.
“Sama ada melalui lorong baharu atau di jalan raya sedia ada dahulu, jika lorong khas belum siap. Kita mencubanya dahulu dan menguruskan aliran trafik,” katanya.
Selain menghubungkan Kota Samarahan serta Kuching, ia juga untuk mengurangkan kesesakan jalan raya selain memberi kemudahan kepada para pelajar terutamanya di UNIMAS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di kawasan Samarahan.
Tambahnya, para pelajar juga ditawarkan harga pas istimewa untuk menaiki ART tersebut dan pembayaran boleh dilakukan secara digital melalui Sarawak Pay.
“Apabila kita ada kemudahan, orang awam akan mula menghantar anak mereka di sini kerana tak semua pelajar tinggal di kampus, ada yang tinggal di luar kampus,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, Trem pintar ART mampu membawa muatan sehingga 300 orang penumpang pada satu-satu masa dan menawarkan jarak gerak sejauh 245km bagi setangki hidrogen penuh.
Selain itu, ia juga mempunyai kelebihan dari segi pengisian bahan api yang lebih cepat, menjimatkan tenaga serta lebih mesra alam. – The Borneo Post