Buletin

SKANDAL SUBSIDI EV CHINA: PALSUKAN ANGKA JUALAN, DANA KERAJAAN LESAP?

Industri kenderaan elektrik (EV) China berkembang pesat dalam tempoh beberapa tahun lalu, sebahagian besarnya hasil sokongan padu kerajaan melalui insentif kewangan yang lumayan.

Namun, satu audit mendalam mendedahkan bahawa tidak semua tuntutan insentif tersebut dibuat secara sah, malah ada syarikat besar yang didapati menerima dana tanpa memenuhi syarat kelayakan.

Antara pengeluar terkemuka yang terpalit termasuk Chery Automobile dan BYD, dua jenama tempatan yang dikenali di peringkat global.

Menurut laporan, sejumlah 864 juta yuan (sekitar RM78 juta) telah diagihkan kepada syarikat-syarikat yang gagal memenuhi kriteria kelayakan antara tahun 2016 hingga 2020.

Chery, misalnya, dikatakan menerima 240 juta yuan (sekitar RM22 juta) untuk hampir 9,000 unit kenderaan elektrik dan hibrid yang sebenarnya tidak layak mendapat subsidi.

Sementara itu, BYD pula didakwa memperoleh 143 juta yuan (sekitar RM13 juta) bagi kira-kira 4,900 buah kenderaan yang juga tidak menepati syarat.

Program yang Mudah Dimanipulasi

Sejak dilancarkan lebih sedekad lalu, skim subsidi EV China pernah menawarkan sehingga 60,000 yuan (sekitar RM5,400) bagi setiap unit kenderaan. Pembayaran dibuat terus kepada pengeluar, yang kemudiannya boleh menurunkan harga jualan kepada pengguna. Namun struktur ini turut membuka ruang luas untuk penipuan berskala besar.

Pada tahun 2016 sahaja, kerajaan China mendedahkan bahawa berpuluh-puluh syarikat telah menuntut secara palsu sehingga 9.3 bilion yuan (hampir RM840 juta) dalam bentuk subsidi. Ini sekali gus mencetuskan siasatan besar-besaran terhadap syarikat automotif tempatan.

Jualan Palsu dan Perang Harga

Pihak berkuasa kini memantau rapi industri EV tempatan dan mengarahkan semua pemain pasaran menghentikan perang harga yang keterlaluan serta taktik penjualan tidak sihat.

Antara amalan yang semakin membimbangkan ialah apabila syarikat-syarikat menjual kenderaan secara pukal kepada pengedar, yang kemudiannya mendaftarkan kenderaan tersebut bagi membolehkan syarikat merekodkannya sebagai ‘jualan’.

Kenderaan-kenderaan ini kemudian dijual semula sebagai “kereta terpakai tanpa perbatuan” – satu lagi cara licik meningkatkan angka jualan.

Setakat ini, tidak jelas sama ada syarikat-syarikat terlibat telah diarahkan memulangkan dana subsidi yang diperoleh secara tidak sah, atau jika jumlah itu telah ditolak daripada bayaran akan datang.

Google ads
Back to top button