Buletin

FOTO RASMI HAVAL BIG DOG 2026 DIDEDAHKAN – LANCAR 17 JULAI INI

Great Wall Motor (GWM) telah mendedahkan imej rasmi SUV segmen kompak gaya lasak mereka, Haval Big Dog 2026 – versi kemas kini dengan perubahan ketara pada rekaan luaran serta ruang dalaman.

Model facelift ini dijadual dilancarkan secara rasmi di China pada 17 Julai.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2020, Haval Big Dog telah mencatat jualan kumulatif melebihi 600,000 unit.

Malah, sepanjang 12 bulan berturut-turut sehingga Mei 2025, jualannya kekal melebihi 10,000 unit sebulan – petanda jelas populariti yang masih kukuh dalam pasaran.

Untuk model 2026, lima warna baharu ditawarkan termasuk Misty Blue, Moss Rock Green, Meteorite Gray, Moon White dan hitam. Secara visual, wajah hadapan menerima gril baharu namun lampu utama LED berstail retro dikekalkan, tetapi kini lebih terang dengan peningkatan 20 peratus pada pencahayaan lampu rendah (low beam), mencecah 47,800 cd, manakala lampu tinggi (high beam) mencapai 94,500 cd.

Di belakang, rekaan lampu melintang berbentuk L terbalik masih dikekalkan, mengekalkan identiti unik Big Dog.

Rekaan keseluruhan SUV ini masih menampilkan siluet berkotak, pemegang pintu tradisional dan rak bumbung, menyerlahkan elemen gaya utilitarian yang menjadi tarikan utama model ini.

Tiada perubahan besar dari segi saiz fizikal. Seperti model 2024, panjang, lebar dan tinggi masing-masing kekal pada 4,620mm, 1,890mm dan 1,780mm, dengan jarak roda sepanjang 2,738mm.

Ruang dalaman pula menerima beberapa peningkatan moden, antaranya stereng baharu berbentuk-D, serta skrin sentuh terapung bersaiz 14.6-inci yang menjalankan sistem operasi Coffee OS 3 dari GWM.

Panel instrumen digital dan paparan maklumat pada cermin hadapan (W-HUD) bersaiz 9-inci turut melengkapkan ciri moden kokpit ini.

Tempat duduk belakang boleh dilipat rata bagi memberikan kapasiti ruang kargo sehingga 1,404 liter. Sistem audio dilengkapi 10 pembesar suara dan tempat duduk juga menyokong fungsi pengudaraan.

Walaupun maklumat rasmi enjin bagi model 2026 belum diumumkan, versi terdahulu ditawarkan dengan dua pilihan enjin – 1.5 liter turbo (181hp, 275Nm) dan 2.0 liter turbo (235hp, 385Nm), digandingkan sama ada dengan transmisi klac berkembar 7-kelajuan atau 9-kelajuan.

Untuk harga, sebagai perbandingan, model 2024 dijual pada harga antara 123,900 hingga 149,900 yuan (sekitar RM78,000 hingga RM94,500). Dijangka model facelift ini akan berada dalam julat harga yang hampir sama apabila dilancarkan kelak.

Google ads
Back to top button