ŠKODA OCTAVIA vRS 2020, WAGON ATAU SEDAN?
ŠKODA merupakan satu daripada pengeluar kereta paling lama di dunia yang masih beroperasi secara aktif sehingga hari ini. Pada 2020, syarikat itu menyambut ulangtahun ke 125 sejak diasaskan pada 1895.
ŠKODA mempunyai kaitan langsung dan berada di bawah Kumpulan Volkswagen sejak 1991. Syarikat dari Czech itu menawarkan pelbagai model kepada pengguna iaitu CITIGO, FABIA, RAPID, SCALA, OCTAVIA, KAROQ, KODIAQ, KAMIQ dan SUPERB.
ŠKODA menikmati prestasi jualan yang bagus, pada 2019 sebanyak 1.24 juta kenderaan diserahkan kepada pelanggan.
ŠKODA juga aktif dalam pembekalan kenderaan untuk sukan permotoran rali dan ini boleh dilihat melalui FABIA R5 yang pernah dibawa masuk ke negara kita sempena Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) beberapa tahun dahulu.
Di jalan raya, ŠKODA mempunyai siri prestasi yang dikenali sebagai vRS.
Apakah model baharu yang ditawarkan syarikat? ŠKODA Octavia vRS generasi keempat atau vRS iV.
Model baharu itu adalah yang pertama dari ŠKODA dengan tiga rangkaian kuasa apabila pelanggan boleh memiliki Octavia vRS dalam versi petrol, diesel atau plug-in hybrid.
Siri vRS bermula pada tahun 2000 melalui Octavia generasi pertama. Model istimewa itu menggunakan penjenamaan RS yang bermaksud Rally Sport dan mengimbas kembali kejayaan puluhan tahun dulu.
Di antaranya ialah ŠKODA 180 RS dan 200 RS protaip rali serta kejayaan ŠKODA 130 RS pada rali Monte Carlo pada tahun 70-an.
Dengan legasi tersebut, jenama RS bukan sekadar pemasaran dan turut membawa sejarah gemilang ŠKODA.
ŠKODA Octavia vRS iV
Varian mesra alam sekitar atau Octavia vRS iV dengan plug-in hybrid mempunyai output kuasa 180 kW (245 PS) yang dipadan dengan transmisi enam kelajuan DSG.
Octavia vRS dengan enjin 2.0 TSI boleh dipadan dengan transmisi enam kelajuan manual atau tujuh kelajuan DSG dan memiliki output kuasa yang hampir serupa.
Octavia vRS bernadikan enjin 2.0 TDI (diesel turbo) pula mempunyai kuasa 147 kW (200 PS) dengan kombinasi tujuh kelajuan DSG dan pilihan pacuan semua roda (AWD).
Kawalan elektronik AWD memberi reaksi pantas kepada perubahan pemanduan contohnya semasa melalui selekoh dengan laju.
Apa yang berlaku ialah, sistem memindahkan sebahagian daya kilas ke roda yang berlawanan apabila beban pada roda sebelah dalam dikurangkan dan mengekalkan cengkaman.
Untuk ketiga-tiga varian tertinggi itu, karakter dinamika pemanduan turut terbentuk oleh sistem stereng jenis progresif dan suspensi sport yang tipikal untuk vRS dengan badan yang direndahkan sebanyak 15 mm bagi 2.0 TSI dan 2.0 TDI.
Pembeli Octavia vRS ditawarkan pilihan sistem Kawalan Casis Dinamik (Dynamic Chassis Control/DCC) yang berfungsi secara berterusan bagi melaras peredaman (damping) sekali gus menjadikan gaya pemanduan yang sangat dinamik di dalam mod Sport.
Semasa seleksi mod Pemanduan, pemandu boleh melaras tetapan suspensi, peredaman dan karakter stereng atau operasi DSG mengikut citarasa sendiri.
Pelarasan itu boleh dibuat melalui gelangsar (sliders) pada skrin sentuh tengah.
Jarak kelegaan bumi bagi Octavia vRS iV kekal tidak berubah untuk versi yang dilengkapi DCC.
Untuk varian TSI, pembeza gelincir terhad (LSD) jenis elektronik (VAQ) memberikan lebih cengkaman pada gandar depan.
Menghentikan kereta ialah brek cakera 17 inci bagi varian 2.0 TSI dan hibrid dan saiz 16 inci pada bahagian depan dan 15 inci untuk belakang varian 2.0 TDI.
Selain penampilan yang sporti dengan kit badan dan kemasan khas termasuk gaya badan wagon, vRS dilengkapi roda aloi 18 inci dan pembeli turut ditawarkan roda saiz 19 inci sebagai pilihan peribadi.
Bahagian dalaman vRS pula menggunakan tema gelap. Stereng sport balutan kulit mempunyai tiga rongga, injak DSG, kawalan pelbagai fungsi dan mempamerkan logo vRS.
Kerusi depan sport depan dibalut dengan fabrik hitam manakala pilihan kerusi ergonomik dibalut Alcantara®, kulit, dan kulit tiruan dengan fungsi laras kedalaman dan urutan.
Alcantara® turut digunakan pada papan pemuka selain kemasan efek karbon.
BACA: HATI-HATI DI SIMPANG! – CIRI CANGGIH ŠKODA OCTAVIA 2020