Buletin

DUCATI MULTISTRADA V4 PIKES PEAK 2025, RUPA DEPAN BAHARU, AMARAN PELANGGARAN DEPAN

Ducati Panigale V4 baharu (2025) tidak lagi didatangkan bersama lengan ayun tunggal. Buat pelanggan yang mahu kekal begitu, ada sebuah lagi V4 tetapi bukan Panigale.

Model yang dimaksudkan ialah Multistrada V4 Pikes Peak. Motosikal ini walaupun dalam format kembara, tetapi lebih kepada prestasi bagi menepati nama Pikes Peak.

V4 Pikes Peak dibangunkan untuk penunggang yang mahu menikmati sisi sporti Multistrada di kala mengembara merentasi selekoh di pergunungan. 

Ironinya perlumbaan motosikal Pikes Peak sudah tiada dan pengekalan model ini dapat mengingatkan kepada acara ke awan tersebut.

Dari segi rekaan, rupa depan Pikes Peak 2025 nampak lebih garang dengan lampu dan nyalaan baharu dan paruh warna hitam.

Grafik Pikes Peak baharu diilhamkan dari warna dan corak yang digunakan pada motosikal lumba Ducati di dalam MotoGP, Superbike dan Motocross dengan nombor pada panel sisi dan cermin depan.

Menyerlahkan lagi ciri-ciri sporti ialah perkakasan gentian karbon dan peredam ekzos titanium Akrapovič yang dihomologasi.

Lagi identiti seperti pelindung depan plexiglass warna gelap, sepit udang Öhlins warna emas, pelana dengan logo V4 dan Ducati Corse pada paruh depan.

Casis Pikes Peak berbeza daripada Multistrada V4 dan dibangunkan mengikut roda depan 17 inci untuk kejituan tinggi dan tindak balas kepada penunggang.

Pemetaan ampaian Öhlins Smart EC 2.0 dioptimumkan bagi memberi lebih sokongan semasa tunggangan sporti dan lebih selesa dalam tunggangan kembara. 

Sistem itu berfungsi berasaskan logik keadaan semasa sama seperti Panigale V4 S dan Streetfighter V4 S dan membuat penetapan sendiri mengikut gaya tunggangan.

Butang pada kiri hendal membolehkan penunggang memilih tetapan kawalan ampaian di dalam mana-mana Mod Tunggangan. Tetapan tersebut merangkumi Track, Dynamic, Comfort atau Low Grip.

Keluar dari kilang, motosikal ini dipasang tayar Pirelli Diablo Rosso IV saiz 120/70 di depan dan 190/55-17 dan membaluti rim tempa aluminium lima batanng baharu.

Multistrada V4 Pikes Peak 2025 turut dilengkapi Kawalan Brek Enjin (EBC) dengan tiga larasan untuk pemandu menyesuaikannya mengikut gaya tunggangan.

Sistem Pembrekan Gabungan Elektronik berfungsi mengikut tetapan depan ke belakang yang menguruskan brek belakang dengan hanya menggunakan brek depan.

Enjin V4 Granturismo 1,158 cc menghasilkan 170 kuasa kuda (hp) pada 10,750 rpm dan 124Nm pada 9,000 rpm. Angka itu sama seperti Multistrada V4 2025.

Enjin dioptimum bagi meningkatkan karakteristik motosikal melalui Mod Tunggangan Perlumbaan yang dibangunkan khusus untuk Pikes Peak.

Penghad rev berfungsi dengan lebih bertahap berbanding Multistrada V4 bagi mengingatkan penunggang lebih awal dan membuat tukaran gear secara lebih berkesan pada julat tinggi rev.

Penukar cepat pula memiliki tentukuran khusus untuk penukaran gear yang sangat agresif. Di dalam mod High Power, hubungan di antara pendikit dan enjin lebih langsung untuk pecutan yang spontan.

Dari segi ergonomik, kedudukan perehat kaki lebih tinggi dan ke belakang berbanding Multistrada V4 bagi meningkatkan sudut rebahan maksimum dan membantu pergerakan badan. 

Hendal lebih rendah, rapat dan kurang melengkung. Pakej ergonomik tersebut diterjemah pada rasa lebih baik dalam tunggangan sporti dan tahap keselesaan yang bagus.

Kelengkapan keselamatan sama seperti Multistrada V4 S di antaranya Kawalan Suai Pandu (ACC), Pengesanan Titik Buta (BSD) dan fungsi baharu Amaran Pelanggaran Depan.

Tunggangan pada waktu malam lebih baik dengan Lampu Sudut Ducati yang lebih berkesan dalam menerangi jalan semasa rebahan.

Gugusan lampu yang dioptimumkan mengurangkan bayang pada roda depan. Lampu kabus belakang ditawarkan sebagai pilihan.

Terdapat tiga warna untuk pelanggan iaitu Ducati Red, Thrilling Black dan Arctic White.

Di United Kingdom, Ducati Multistrada V4 Pikes Peak ditawarkan pada harga 27,795 pound (RM153,654).

Google ads
Back to top button