Buletin

SONY DAN HONDA MULA TERIMA TEMPAHAN AFEELA PADA AWAL 2025

Jenama Afeela, hasil kolaborasi antara Sony dan Honda, bakal mencipta impak besar dalam industri automotif apabila mula menerima tempahan di Amerika Utara pada separuh pertama 2025.

Diperkenalkan kepada dunia di Japan Mobility Show 2023, perkembangan terkini menunjukkan pembangunan kereta ini hampir siap sepenuhnya.

Walaupun nama rasmi model pertama Afeela masih belum diumumkan, reka bentuk luaran yang didaftarkan kekal sama seperti ditunjukkan di pameran mobiliti tersebut.

Kereta ini menampilkan gril hadapan yang dilengkapi dengan paparan mendatar untuk berkomunikasi dengan persekitaran, manakala bahagian dalaman dilengkapi dengan paparan skrin penuh merentasi papan pemuka, serta roda stereng jenis yoke.

Apa yang menjadikan Afeela unik bukan hanya pada reka bentuknya, tetapi pada kehebatan teknologi perisian yang disertakan.

Kereta ini dikuasakan oleh Snapdragon Digital Chassis, cip pemprosesan khusus yang dibangunkan oleh Qualcomm.

Dilengkapi dengan pelbagai kamera dan sensor, Afeela mampu melakukan sehingga 800 teraflops operasi, memberikan sokongan kepada fungsi pemanduan bantuan serta sistem infotainmen serba canggih.

Platform bagi model Afeela akan dikongsi dengan siri BEV Zero generasi baharu yang bakal dilancarkan oleh Honda pada 2026.

Pada mulanya, terdapat perancangan untuk menggunakan casis buatan sendiri, namun bagi mempercepatkan pembangunan, keputusan dibuat untuk menggunakan casis daripada Honda.

Afeela juga dijangka menjadi kereta Jepun pertama yang menggunakan standard pengecasan NACS, selari dengan keputusan Tesla untuk mengadaptasi sistem pengecasan ini di Jepun.

Dari segi harga, model Afeela dijangka melebihi 10 juta yen (RM310,000), jauh lebih tinggi daripada model Zero Series Honda yang dianggarkan berharga sekitar 6 juta yen (RM186,000).

Dengan pelbagai fungsi terkini dan prestasi mengagumkan, Afeela bakal menarik perhatian golongan elit.

Namun, saingan dari pengeluar EV China yang menawarkan teknologi canggih pada harga lebih rendah turut menjadi cabaran utama buat Sony dan Honda.

Google ads
Back to top button