Buletin

BETUL KE SUSAH JUAL KERETA ZAMAN COVID-19 NI? KITA TANYA TOP SALES DEALER PROTON, SETIA GEMILANG AUTO

Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia menjejaskan hampir semua bentuk perniagaan. Mereka yang terlibat dalam industri automotif juga tidak terkecuali. 

Kerugian yang mereka tanggung bukan sedikit. Namun, mujur kerajaan ada melaksanakan beberapa insiatif untuk merancakkan kembali sektor ekonomi yang secara tidak langsung memberi kesan kepada industri automotif negara. 

Antaranya ialah moratorium selama enam bulan, pelan PENJANA dan terbaharu kebenaran pencarum KWSP mengeluarkan wang mereka. 

Untuk mengetahui situasi sebenar secara lebih jelas, jom kita berbual dengan Pengarah Urusan Pusat Proton 4S, Setia Gemilang Auto, Andrew Quek. 

Secara keseluruhannya, bagaimana perniagaan tahun ini?
Dengan perkembangan semasa terutama jangkitan COVID-19, perniagaan masih lagi OK. Walaupun sukar, ia masih dapat dikendalikan. Kami perlu berterima kasih kepada kerajaan atas pelan PENJANA yang diperkenalkan pada awal Jun yang benar-benar membantu meningkatkan jualan kami.

Sebagai Top dealer, apakah cabaran paling sukar yang terpaksa anda hadapi?
Saya rasa, cabarannya tidak jauh berbeza dengan pemilik perniagaan yang lain. Sebagai penjual kereta, kami perlu menguruskan kehendak pelanggan dalam apa jua keadaan dan buat mereka gembira. Terdapat banyak jenis pelanggan dengan karenah berbeza. Pastinya, setiap hari ada cabaran yang baru.

Sepanjang berkecimpung dalam perniagaan ini, saya berpendapat, untuk sesebuah perniagaan berjaya dan bertahan apa yang paling penting adalah mendengar rungutan pelanggan.

Kemudian cari jalan untuk selesaikannya. Pelanggan sebenarnya tak suka menyusahkan kami, malah kebanyakan daripada mereka mempunyai ekspektasi yang sewajarnya. 

Jika tidak boleh selesaikan masalah dengan segera, sekurang-kurangnya perlu kemas kini info kepada mereka. Cara ini menunjukkan kita ambil berat tentang masalah mereka.

Sejak X50 dilancarkan, bagaimana maklum balas daripada pelanggan?
Sangat bagus. Tempahan juga rancak. Kereta terjual dengan mudah kerana ramai dah lama tunggu sebelum tarikh pelancarannya.

Saya juga dapati kami mempunyai pembeli yang sama membeli kereta baharu di sini. Mereka ialah pelanggan berulang. Sebagai contoh, dahulu pelanggan membeli X70, sekarang mereka kembali untuk mempertimbangkan pembelian model lain. Jadi, di pusat jualan kami, ia seperti pengembangan komuniti pembeli yang sama.

Pada pendapat anda, apakah yang mencetuskan trend tersebut?
Sebagai permulaan, ini ialah pusat 4S yang menawarkan pelbagai kemudahan seperti jualan dan perkhidmatan. Secara peribadi, saya fikir mereka sukakan tempat ini.

Apa yang kami ada di sini seperti ruang tempat duduk yang mencukupi, sofa yang selesa, makanan dan minuman percuma, WiFi dan banyak ruang parkir.

Dalam usaha mematuhi SOP pencegahan COVID-19, kami menyediakan pelindung muka, sanitasi serta pelitup muka secara percuma kepada setiap pelanggan yang memasuki premis ini. 

Mereka juga selesa dengan kakitangan jualan dan perkhidmatan selepas jualan kami. Sebab itu mereka tidak keberatan untuk kembali ke sini. 

Apakah aktiviti yang sedang dijalankan di pusat 4S ini? 
Selain pandu uji kereta, kami ada menyediakan sanitasi percuma untuk pelanggan dan kereta  frontliners.

Ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus sama-sama memikul tanggungjawab untuk menghalang penyebaran wabak ini. 

Jika pelanggan menempah X50 sekarang, bila agaknya mereka boleh dapat kereta? 
Bergantung kepada keadaan. Semakin banyak tempahan, mungkin tempoh menunggu akan menjadi lebih lama. Tetapi saya yakin PROTON sedang berusaha untuk memenuhi setiap permintaan pelanggan.

Model manakah yang paling mudah dan sukar untuk dijual? 
Semua model Proton boleh dijual. Ia bergantung pada kehendak pelanggan dan bajet mereka.

Sekiranya pelanggan sukar membuat keputusan model mana harus dibeli, kami akan bantu dengan menunjukkan  kelebihan setiap model yang sesuai dengan keperluan mereka.

Apakah sasaran anda untuk tahun ini yang hanya berbaki sebulan?
Mahu mengakhiri tahun ini dengan menjual sebanyak mungkin kereta. Harapan saya adalah untuk memecah rekod terbaik peribadi!

Nota: 

  • Pada Julai 2020 – Setia Gemilang Auto berjaya menjual sebanyak 475 unit kenderaan, satu rekod baharu dan paling tinggi untuk sebuah cawangan pengedar. Jualan tertinggi yang pernah dicatat oleh sebuah cawangan pengedar sebelum ini adalah pada tahun 2011 iaitu 345 unit.
  • Setia Gemilang ialah TOP sales dealer PROTON pada tahun 2019. Sebanyak 2,826 unit berjaya dijual.
  • Bermula Januari sehingga kini, Setia Gemilang masih menjadi top sales dealer. Januari – Oktober 2020 berjaya catat jualan 2,848 unit.
  • Berbanding tempoh sama tahun lalu: Jan 2019 – Okt 2019 = 2148 unit.
  • Bermula dari awal tahun hingga 24 November lalu, lebih 3,000 pelanggan telah memilih untuk membeli kereta Proton dengan Setia Gemilang Auto.

Boleh beritahu apa yang boleh kami jangkakan daripada Setia Gemilang pada tahun hadapan?

Kami mensasarkan untuk membuka satu lagi cawangan Proton di Lembah Klang pada tahun hadapan. Ini bagi  membina rangkaian dan meluaskan perkhidmatan kepada pelanggan di lokasi lain. 

Akhir sekali, apakah nasihat anda kepada pengusaha baharu yang ingin menceburkan diri dalam bidang penjualan kereta? 
Bersedia untuk bekerja dengan bersungguh-sungguh dan ada minda yang kental. 

Google ads
Back to top button